Bazar Tun Fatimah semakin dipenuhi usahawan wanita

Bazar Tun Fatimah semakin dipenuhi usahawan wanita

Tidak mustahil Kota Tun Fatimah akan terkenal seperti Pekan Rabu, Pasar Siti Khadijah atau Pasar Payang suatu hari nanti

AYER KEROH 12 Sept. – Pembukaan Bazar  Melaka di Kota Tun Fatimah, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini yang beroperasi sejak tiga minggu lalu terus menerima sambutan peniaga yang berminat menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Bazar yang semakin dipenuhi peniaga itu didapati menjual pelbagai jenis barangan termasuk kosmetik, keperluan, kraftangan dan makanan.

Tinjauan MelakaKini ke lokasi itu mendapati, sebahagian besar peniaga adalah golongan wanita malah hampir disetiap ruangan kawasan itu dipenuhi gerai pelbagai jualan.

Lokasi perniagaan bazar yang mengutamakan penyertaan golongan Hawa itu menerima maklum balas positif daripada golongan berkenaan bagi mendukung aspirasi kerajaan negeri yang mahu memperkasakan usahawan wanita.

Menurut seorang peniaga, Zuraini Mahat, 45, berkata, daya penarik yang menyebabkan ramai peniaga di bazar itu adalah tawaran kadar sewa percuma selama enam bulan kepada peniaga wanita.

Ujarnya, ruangan yang begitu kondusif di kawasan terbabit menjadikan ia lokasi `selamat’ bagi kaum wanita untuk menjana pendapatan.

“Jika sebelum ini saya berniaga di bazar terbuka termasuk ‘car boot sale’ yang tidak tertutup namun apabila mula berniaga di sini, kami sebagai wanita mampu berlindung daripada panas dan hujan.

“Saya yang sebelum ini merupakan pegawai bank mula memfokuskan kepada perniagaan mengharapkan sambutan di kawasan ini terus meningkat melalui hebahan orang ramai,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Seorang lagi peniaga kraftangan, Rohana Mohd Yusof, 51, berkata, peluang yang diberikan kepada golongan wanita sepertinya mampu memberi pengalaman terbaik dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya yang baru mempelajari ilmu kraftangan hampir tiga bulan lalu berkata, peluang itu merupakan aktiviti baharu bagi dirinya untuk menjana pendapatan yang sebelum ini hanya suri rumah sepenuh masa.

“Saya baru saja berkecimpung dalam dunia perniagaan ini malah sebaik saja berpencen daripada menjadi kakitangan kerajaan, saya mula memfokuskan kepada kraftangan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada saya.

“Sebagai wanita, peluang ini perlu diberikan galakan terutama dalam bidang kraftangan kerana ia mampu memberi peluang baharu kepada kami.

“Selain ia dapat memartabatkan peranan wanita di negara ini pada masa sama kita juga dapat menaikkan lagi mutu produk kraftangan hasil nukilan daripada golongan wanita,” katanya.

MelakaKini turut menemui seorang remaja yang mula menggiatkan diri dalam perniagaan di bazar terbabit.

Menurut Mohd Shahir Iqmal Mohd Hakim, 17, peluang berniaga di situ harus diberikan kepada belia sepertinya.

Katanya yang mula menceburi bidang perniagaan sejak umur 13 tahun itu, peluang yang dibuka di kawasan itu begitu memuaskan malah saingan positif peniaga di situ dapat diwujudkan melalui perkongsian pengalaman dengan peniaga lain.

“Apa yang kita lihat, sambutan jualan di kedai kami cukup memuaskan sehingga kami tidak menang tangan bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama menjelang waktu malam,” katanya.

Pada tinjauan itu juga, terdapat satu-satunya gerai yang menawarkan perkhidmatan urut yang turut menerima ramai pelanggan bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan.

Menurut peniaga di gerai itu, Abdul Hamid Mohd Husin berkata, perkhidmatan urutan yang dilakukannya itu telah beroperasi hampir 10 tahun lalu.

Ujar Hamid, sebelum membuka perniagaan di bazar itu, dia berkongsi perniagaan dengan pihak lain di tempat lain, namun kini dia mampu menjalankan peniagaan sendiri.

“Walaupun dibuka kepada golongan wanita, kami juga menerima tempias daripada lubuk rezeki ini dan mengharapkan agar sambutan pelaksanaan bazar di kawasan ini terus menerus menerima kunjungan pengunjung.

“Rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang diberikan ini sekali gus mampu membangunkan Kota Tun Fatimah yang sebelum ini dilihat sendu umpama tidak bernyawa,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS