Bas Percuma Melaka manfaatkan 290,000 pengguna setahun

Bas Percuma Melaka manfaatkan 290,000 pengguna setahun

Adly mengjangkakan perkhidmatan bas Melaka akan dinikmati 290,000 pengguna setahun dengan jumlah subsidi RM1.4 juta.

 

BANDARAYA MELAKA 20 Ogos – Perkhidmatan Bas Percuma Melaka Berwibawa merupakan titik-tolak pertama ke arah memartabatkan semula pengangkutan awam di Negeri Melaka.

Sekali gus sebagai jalan penyelesaian memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kereta peribadi dan motosikal.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkhidmatan bas yang dikenali sebagai bas Melaka Berwibawa ini dijangka dinikmati oleh kira-kira 290,000 pengguna setahun dengan jumlah subsidi RM1.4 juta.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa meletakkan keperluan rakyat pada hirarki tertinggi demi kesejahteraan hidup mereka.

Menurutnya, ketiga-tiga bas ini akan menggunakan sumber gas asli (NGV) sebagai bahan api, sekali gus dapat membantu hasrat kerajaan mengurangkan pelepasan karbon dan memulihara alam sekitar daripada tercemar,” katanya.

Adly berkata demikian di Majlis Pelancaran Bas Percuma Melaka Berwibawa di Melaka Sentral di sini, hari ini.

Penduduk tempatan yang memiliki MyKad dan MyKid akan mendapat manfaat menikmati kemudahan pengangkutan awm bas percuma yang menghubungkan beberapa lokasi di sekitar pusat bandar.

Sementara itu bagi bukan warganegara, bayaran akan dikenakan mengikut laluan.

Antara lokasi laluan perkhidmatan bas percuma yang akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang itu ialah Melaka Sentral, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hospital Melaka (HM) dan Pasar Awam Bachang.

Bas Percuma Melaka Berwibawa ini merupakan langkah diambil kerajaan bertujuan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat selaras dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk di negeri ini.

Tambah Adly, kos operasi ketiga-tiga bas ini akan dibiayai bersama oleh kerajaan negeri, agensi kerajaan negeri serta agensi swasta.

“Kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan swasta ini menggambarkan semangat keprihatinan untuk membina Melaka yang lebih baik hari ini, sekali gus juga mencerminkan tanggung jawab sosial mereka pada rakyat,” ujarnya.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Muhammad Jailani Khamis; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekita, Tey Kok Kiew; Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan,Kerk Chee Yee; Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Hal Ehwal Orang Asli, Genie Lim Siew Lin dan Pengurus Besar Melaka Sentral, Abu Bakar Jani

CATEGORIES
TAGS