“Bantuan dah cukup, terima kasih MAIM, JKM, Uncle Kentang” – Norhaida

“Bantuan dah cukup, terima kasih MAIM, JKM, Uncle Kentang” – Norhaida

Rakyat Malaysia dan Melaka tanpa mengira kaum memang prihatin dan dermawan

MERLIMAU 20 Sept. – Bagai jatuh ditimpa tangga, itulah nasib lima beranak yang diuji dengan pelbagai kepayahan apabila suami yang menjadi tulang belakang keluarga kini terlantar sakit.

Bagi Norhaida Kharuddin, 34, dia sangat bersyukur apabila kepayahannya bersama anak-anaknya mendapat perhatian ramai pihak yang tampil meringankan bebannya.

Kisahnya bersama empat anaknya yang kebuluran dan hanya minum air kosong untuk menahan kelaparan selama dua hari menjadi tular apabila dimuat naik di media sosial seorang aktivis popular yang dikenali sebagai uncle kentang.

“Waktu itu, saya terlalu buntu dan hanya terfikir untuk meminta bantuan Uncle Kentang (Kuan Chee Heng) kerana mengikuti ‘page’ FB beliau yang banyak membantu golongan susah.

“Sejujurnya, kehidupan kami tujuh beranak tidaklah terlalu susah atau senang walaupun pendapatan suami, Mohd Adam Ezam, 38, sebagai kelindan lori hanya RM500 hingga RM1,000 sebulan,” katanya ketika ditemui MelakaKini di rumahnya di Taman Debunga, di sini, hari ini.

Suri rumah tersebut turut berterima kasih kepada semua pihak yang segera menghulurkan bantuan sehingga mendapat bekalan makanan yang lebih daripada mencukupi.

“Saya rasa cukuplah setakat ini bantuan dihulurkan dan berharap masyarakat tidak menyalahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), institusi zakat dan Baitumal, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atau sesiapa sahaja.

“Lagi pun memang selama ini saya tidak pernah meminta bantuan daripada semua agensi itu kerana merasakan ada mereka yang lebih layak dibantu,” katanya sebak.

Bagaimanapun, Norhaida berterima kasih kepada MAIM dan JKM yang berkunjung ke rumahnya semalam (Rabu) dengan memberi bantuan segera RM300 sebelum meluluskan bantuan bulanan makanan asasi sebanyak RM400 sebulan.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS