Banjir: Melaka perlukan kos lebih besar

Banjir: Melaka perlukan kos lebih besar

Demi pelan jangka masa panjang...

PERINGGIT 9 Ogos – Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri memerlukan kos yang lebih besar bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini membabitkan kawasan rendah terutamanya di beberapa lokasi di Peringgit.

Katanya, ketika ini hanya RM1.5 juta diperuntukkan bagi membaik pulih masalah banjir di kawasan berkenaan, namun bagi jangka masa panjang, ia memerlukan peruntukan yang lebih tinggi.

Jelasnya, antara punca banjir di kawasan ini ialah pembangunan di kawasan Sungai Melaka, diikuti beberapa perkara lain.

“Kita peruntukkan RM1.5 juta untuk menyelesaikan masalah banjir, jangka masa panjang kita perlukan kos lebih besar termasuk menyediakan sistem pam untuk pastikan bahawa walau hujan macam mana sekali pun, kita dapat pun air keluar ke Sungai Melaka.

“Buat sementara waktu, kita naikkan sistem saliran sedia ada dulu bagi penyelesaian jangka masa pendek bagi masalah banjir di kawasan rendah (Pulau Kelapa),” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke kawasan berkenaan, semalam.

Dalam pada itu, Adly berkata, beliau turut mengharapkan kerjasama masyarakat setempat bagi menaiktaraf kawasan longkang membabitkan tanah persendirian.

“Kita sudah ada peruntukkan dan berharap rakyat dapat beri kerjasama untuk kerja menaik taraf kawasan longkang,” katanya.

Terdahulu, Adly turut melawat beberapa lagi kawasan di Pengkalan Batu termasuk melawat rumah pelancongan tradisional di Kampung Bukit Palah dan melihat kawasan tapak masjid baru yang akan dibangunkan dengan nilai RM5.5 juta.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS