Bajet 2020 Negeri Melaka bakal jadi agihan paling menggembirakan rakyatnya

Bajet 2020 Negeri Melaka bakal jadi agihan paling menggembirakan rakyatnya

Nantikan Bajet Melaka 2020....

RAKYAT Melaka, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, pastinya menunggu dengan penuh minat Bajet 2020 Negeri Melaka yang bakal dibentangkan Ketua Menteri, Adly Zahari semasa Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri di sini pada 18 November depan.

Ini merupakan pembentangan bajet kali kedua oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka selepas mengambil alih pentadbiran negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke 14 lalu.

Adly sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memberikan fokus terhadap menunaikan baki janji manifesto PH negeri dalam Bajet 2020.

Katanya bajet yang akan menjurus kepada sektor pembangunan, pendidikan dan kesihatan itu bakal menjadi agihan paling menggembirakan rakyat selari dengan janji manifesto tersebut.

Setakat 10 Mei lalu, sebanyak 87.3 peratus daripada janji manifesto berkenaan telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

 


PROGRAM-PROGRAM KESELESAAN RAKYAT AKAN DITERUS DAN DIPERTINGKAT DALAM BAJET 2020

Berdasarkan laporan-laporan media yang lalu, rakyat Melaka boleh menghela nafas lega kerana program-program untuk keselesaan rakyat seperti parkir percuma pada hujung minggu dan perkhidmatan bas percuma ke destinasi terpilih akan diteruskan untuk tahun hadapan.

Inisiatif parkir percuma yang akan diteruskan itu pastinya turut mengundang perasaan gembira para pelancong yang ingin ke negeri ini kerana tidak lagi perlu membayar parkir pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Parkir percuma itu melibatkan 27,880 petak parkir kenderaan di bawah pentadbiran empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Keputusan meneruskan perkhidmatan bas percuma dikenali bas Melaka Berwibawa juga adalah sesuatu yang pasti menguntum senyuman rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negeri ini.

Ini kerana kemudahan yang diperkenalkan itu, yang melibatkan jumlah subsidi RM1.4 juta telah terbukti memberi manfaat kepada rakyat tempatan selain nikmatnya turut dapat dikongsi oleh penumpang warga asing.

Media melaporkan setakat Julai lalu, kira-kira 70.46 peratus atau 66,037 orang daripada 93,716 penumpang yang menaiki bas Melaka Berwibawa terdiri daripada rakyat tempatan sejak ia mula beroperasi 20 Ogos tahun lalu.

Perkhidmatan berkenaan juga turut dinaiki penumpang warga asing iaitu sebanyak 29.54 peratus atau 27,679 orang.

Selain itu kerajaan negeri juga dilaporkan akan mempertingkatkan pelaksanaan program-program perumahan untuk golongan B40 dan golongan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) seperti Rumah Peduli, Rumah Harapan dan seumpamanya pada 2020.

JANGKAAN ‘OLE-OLE’ BAJET 2020

Berdasarkan pelbagai laporan media yang memetik kenyataan Adly sejak awal tahun ini, ‘oleh-oleh’ atau buah tangan berikut mungkin antara yang akan diumumkan untuk rakyat Melaka dalam pembentangan bajet negeri Isnin ini.

1. Kad kesihatan untuk golongan B40

Kad tersebut akan membolehkan pemegangnya mendapat perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma di klinik atau hospital kerajaan. Inisiatif itu juga merupakan antara perkara yang dijanjikan di dalam manifesto PH. Dijangkakan setiap keluarga yang layak akan menerima peruntukan tidak melebihi RM500 setahun untuk kemudahan tersebut.

2. Skim pinjaman mikrokredit untuk golongan belia dan dan wanita

Golongan belia dan wanita yang layak dijangka boleh memohon pinjaman antara RM1,000 dan RM50,000 melalui skim pinjaman mikrokredit yang dijangka diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Amanah Finance House. Inisiatif ini juga antara perkara yang telah dijanjikan dalam manifesto PH.

3. Imbuhan khas atau bonus untuk penjawat awam negeri

Penjawat awam negeri dijangka menerima imbuhan khas atau bonus yang kebiasaannya diumum ketika sessi pembentangan bajet. Yang masih menjadi pertanyaan ialah jumlah yang bakal diumumkan. Selain itu penjawat awam berstatus kontrak pastinya turut menanti perkhabaran gembira dalam pembentangan bajet kali ini. Ini kerana antara janji dalam manifesto PH sebelum ini ialah mengkaji semula sistem perjawatan kakitangan kerajaan negeri yang berstatus kontrak.

4. Penambahan laluan bas Melaka Berwibawa

Memetik laporan media sebelum ini, perkhidmatan bas percuma yang melibatkan pengoperasian tiga bas percuma di tiga laluan di daerah Melaka Tengah itu tidak akan ditambah kerana ia bergantung pada peruntukan atau bajet kerajaan negeri. Namun melihat kepada kejayaan dan faedah yang dinikmati rakyat daripada inisiatif tersebut, ianya mungkin antara perkara yang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri untuk diperluaskan pada tahun hadapan.

IKUTI PEMBENTANGAN BAJET 2020 ‘LIVE’ DI FB MELAKAKINI

Perlu ditegaskan di sini bahawa perkara-perkara yang dinyatakan di atas adalah andaian yang dibuat berdasarkan maklumat-maklumat yang sedia ada.

Rakyat Melaka yang ingin mengetahui perkhabaran baik yang sebenar sewajarnya mengikuti pembentangan bajet oleh Adly nanti.

Jangan lupa layari laman Facebook MelakaKini yang akan menyiarkan secara langsung ucapan bajet tersebut.

CATEGORIES
TAGS