Bajet 2020 hampir 80 peratus muktamad – KM

Bajet 2020 hampir 80 peratus muktamad – KM

Moga akan ada lebih banyak berita gembira pada Bajet 2020

 

AYER KEROH 6 Sept – Bajet 2020 bagi Negeri Melaka yang dijangka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan hadapan, telah hampir 80 peratus dimuktamadkan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, program-program untuk keselesaan rakyat seperti parkir percuma pada hujung minggu dan perkhidmatan bas percuma ke destinasi tepilih akan diteruskan untuk tahun hadapan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan pelaksanaan program-program seperti Rumah Peduli, Rumah Harapan dan seumpamanya pada 2020.

“Dan untuk 2020, antara aspek yang sedang kita lihat untuk dipertingkatkan adalah aspek kesihatan dan pendidikan.

“Ini yang akan banyak kita beri keutamaan dalam pembentangan bajet kelak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Seri Negeri di sini hari ini.

Adly berkata, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan pemberian beberapa insentif kepada petani berskala kecil di negeri ini pada tahun hadapan.

Ditanya sama ada Bajet 2020 akan menjadi bajet lebihan, berimbang atau defisit, jelasnya, perkara itu akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Pemantau Hasil Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti potensi hasil-hasil baru yang boleh memberikan pulangan kepada kerajaan negeri.

Baru-baru ini Adly dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memberikan fokus terhadap menunaikan baki 32 peratus janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam bajet 2020 yang bakal dibentangkan.

Katanya sebahagian janji berkenaan adalah kad sihat, peruntukan kepada kumpulan belia dan beberapa fasiliti yang dijanjikan.

 

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS