Categories: KolumnisMELAKARENCANA

Bagaimana rakyat Melaka boleh bantu tangani isu air?

ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

CORAK iklim dunia yang berubah-ubah dan sukar diramal ketika ini menyebabkan banyak kawasan tadahan serta takungan yang sebelum ini melimpah ruah dengan bekalan air, sudah mula kekeringan.

Kerajaan Melaka kini sedang meneroka sumber air yang baharu bagi menampung keperluan bekalan yang semakin menyusut berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, kerajaan negeri mengambil pendekatan jangka pendek melalui jalinan kerjasama dengan mendapatkan bantuan sumber air terawat dari negeri jiran iaitu Negeri Sembilan dan Johor.

Di samping itu pelan jangka sederhana dan panjang juga dirancang untuk mengepam air dari Tasik Air Biru di Chinchin ke Empangan Durian Tunggal dan pembinaan Empangan Sungai Jernih di Alor Gajah.

Dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan bandar yang berterusan, aktiviti pertanian dan perindustrian serta perubahan iklim yang tidak menentu menyebabkan berlaku persaingan dari sektor-sektor ini untuk mendapatkan bekalan daripada sumber air bersih dari kawasan-kawasan tadahan air.

Walaupun kerajaan menghabiskan sejumlah wang yang banyak untuk membina infrastruktur untuk membekalkan air ke kawasan bandar dan kampung, dekad yang lalu telah melihat infrastruktur ini terancam dengan pelbagai cara seperti perubahan iklim, pertumbuhan penduduk dan lain-lain ancaman seperti tersebut di atas.

Keadaan bekalan air yang semakin menyusut ini bukan sahaja dialami di negeri bandar seperti Melaka tetapi juga turut dialami bandar lain di dunia seperti di Sao Paulo, California dan bandar-bandar di Australia serta Afrika.

Bandar-bandar ini berhadapan dengan kemarau dahsyat yang menyaksikan tasik, akuifer (kolam tadahan air bawah tanah) dan empangan menjadi kering kontang.

Satu penyelesaian jangka panjang perlu dirangka dan dilaksanakan sesegera mungkin bagi mengatasi masalah ini.

Rakyat Melaka juga boleh turut menyumbang dalam menyelesaikan masalah ini supaya suatu penyelesaian yang lebih lestari dapat dilaksanakan.

Apakah yang boleh di laksanakan oleh rakyat Melaka bagi membantu Kerajaan Negeri mengatasi masalah bekalan air ini?

Di bawah kita cuba senaraikan langkah-langkah sama ada dalam bentuk jangka pendek mahupun panjang yang boleh diambil berdasarkan amalan-amalan yang turut sama dilakukan di peringkat antarabangsa untuk mengatasi masalah ini:-

MENDIDIK UNTUK MENGUBAH CARA PENGGUNAAN AIR

antara perkara penting ialah untuk mendidik masyarakat menyedari tentang krisis yang berlaku dan memotivasi mereka untuk merubah cara penggunaan air supaya lebih cermat dan berhemah.

Hal ini termasuk cara penggunaan air di peringkat industri dan korporat untuk memahami dan menyedari hakikat masalah ini dan turut sama menyumbang ke arah penjimatan penggunaan air terutama pada waktu berlaku krisis bekalan air.

KITAR SEMULA AIR KUMBAHAN

Pada Mac 2019, ahli panel Hari Air Sedunia menggesa pemikiran baru untuk rawatan air sisa atau air kumbahan.

Mereka berpendapat jika begitu banyak wang digunakan untuk memastikan bekalan air mencukupi dengan mengitar semula air kumbahan tetapi cara penggunaan dan pengurusan air tidak diperbaiki maka ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Apa yang penting pada pandangan mereka ialah masyarakat perlu dibangunkan untuk memiliki kesedaran tentang penggunaan dan pengurusan air yang lebih cekap dan berhemah.

Air sisa buangan atau kumbahan yang mempunyai nutrien yang sesuai misalnya boleh dikumpulkan di sesuatu kawasan untuk tujuan menyiram, melembab dan membaja tanam-tanaman pertanian sebagai satu cara untuk mengitar semula air tersebut.

Sesetengah negara pula seperti Singapura, mengitar semula air kumbahan mereka untuk mengurangkan import air dan menjadi lebih mandiri.

Negara-negara Asia Timur yang kaya pula berusaha meningkatkan inovasi dengan membangunkan teknologi canggih bagi membersihkan air sisa buangan untuk kegunaan lain termasuk untuk tujuan minuman.

PENGUMPULAN AIR HUJAN

Bangunan-bangunan moden yang dibangunkan kini direkabentuk untuk menyahkan air hujan supaya ia boleh terdorong keluar dengan pantas dari kawasan perbandaran atau perkampungan supaya air tersebut boleh mengalir ke sungai dan seterusnya ke laut.

Sebenarnya banyak rekabentuk bangunan yang ada kini boleh diubahsuai untuk tujuan mengumpulkan air hujan.

Banyak terdapat kaedah atau peralatan yang boleh digunakan untuk mengumpulkan air hujan dari bangunan untuk kegunaan pembersihan, penyiraman air hingga kepada menggunakan ia semula untuk tujuan minuman.

Kajian yang dilakukan oleh Profesor David Sedlak dari University of California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS) mendapati kebanyakan kawasan bandar atau desa sebenarnya boleh menyediakan keperluan air mereka sendiri selama setahun jika mereka berjaya mengumpulkan hanya separuh daripada seluruh air hujan yang turun di kawasan mereka.

Ia boleh dicapai misalnya dengan mengumpulkan air hujan tersebut dan membiarkannya meresap ke dalam tanah, merawat dan menggunakannya untuk mengisi semula akuifer untuk keperluan air minuman di kawasan bandar dan luar bandar.

Misalnya, bandar Los Angeles di AS membina taman pengumpulan air hujan dan menyalurkan air hujan itu untuk turun meresap ke dalam kuari yang mengandungi batu kerikil terbiar di mana ia kemudian akan dirawat dan dialirkan semula sebagai bekalan air minuman untuk bandar tersebut.

Di Malaysia, kaedah pengumpulan air hujan (rainwater harvesting) misalnya terdapat di bangunan-bangunan seperti masjid dan kawasan rehat di lebuhraya yang menggunakan sumber air hujan yang kemudiannya ditapis untuk kegunaan mengambil wuduk dan pengairan lanskap di kawasan sekitar bangunan tersebut.

Namun kaedah ini masih sangat kurang digunakan di negara kita sekarang ini.

MENGURUSKAN EKOSISTEM AIR SECARA BERINTEGRASI

Bekalan dan rawatan air di kawasan bandar dan luar bandar boleh diuruskan secara berintegrasi (integrated water management).

Air kumbahan dan hujan yang dihasilkan boleh diuruskan dengan cara integratif dengan menjadikan kawasan bandar misalnya sebagai kawasan tadahan air dan tidak hanya menumpukan kepada sumber air dari empangan.

Perspektif menggabungkan isu-isu seperti sumber air kumbahan yang dirawat, pengumpulan air hujan dari struktur bandar dan perumahan, pengumpulan air larian dan lain-lain diuruskan sebagai satu ‘unit metabolik’ yang dapat dikawal dari segi input/outputnya bagi menyokong bekalan air utama yang diperoleh dari empangan.

PELBAGAI LANGKAH TAMBAHAN

Pelbagai langkah lain boleh diambil sebagai tambahan kepada usul-usul yang dikemukakan di atas.

Rakyat Melaka umpamanya juga boleh mengumpulkan air hujan untuk kegunaan pengairan di rumah, memperbaiki pengairan di kawasan kebun untuk tujuan pertanian dengan mengitar semula air kumbahan, bekerjasama dengan pihak pembekal air tempatan untuk menjalankan kempen kesedaran penjimatan penggunaan air dalam kalangan masyarakat.

Melaporkan kepada pihak bertanggungjawab dengan segera jika mendapati terdapat ketirisan atau kebocoran paip air atau mengesyaki terdapat perbuatan mencuri air secara tidak langsung juga boleh menjejaskan kos pengurusan air di negeri ini.

Satu langkah yang barangkali tidak popular yang turut dicadangkan beberapa pihak untuk mengekang pembaziran air ialah dengan mengenakan bayaran atau caj penggunaan air yang lebih tinggi.

Langkah ini sudah tentu dijangka akan mendapat bantahan masyarakat tetapi didapati sangat berkesan di negara seperti Singapura dan lain-lain negara yang menghadapi krisis air untuk mendidik rakyatnya bercermat dan berhemah dalam penggunaan air.

Setujukah anda jika hal ini dilakukan di Melaka?

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

4 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

6 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

6 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

6 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

6 months ago