Categories: KolumnisMELAKARENCANA

Bagaimana mengelakkan diri daripada jadi mangsa “fake news?”

ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

PERNAHKAH anda membaca sebuah berita sensasi dalam talian dan dengan segera anda kongsi berita tersebut dalam akaun media sosial anda, hanya untuk mengetahui kemudian bahawa berita itu tidak benar?

Tetapi anda sudah terlewat untuk memadamnya kerana berita yang anda kongsi itu telah pun tersebar ke seluruh negara dalam tempoh masa yang amat singkat.

Nah, tidak ragu lagi bahawa berita palsu atau lebih kerap disebut sekarang ini sebagai “fake news” adalah maklumat palsu yang disebarkan kepada orang ramai yang boleh memberi kesan buruk kepada pihak lain.

Topik “fake news” ini mula muncul dan menjadi hangat ketika kempen plihan raya atau Pemilihan Presiden Amerika pada 2016.

Stanford University menjalankan kajian mengenai topik ini untuk melihat sejauhmana penyebaran artikel berita palsu di media sosial mempunyai sebarang implikasi terhadap pilihan raya.

Mereka melakukan kajiselidik terhadap 1,200 pengundi di Amerika dan daripada jumlah itu, 14% mengatakan media sosial adalah sumber berita mereka untuk pilihan raya.

Dalam tempoh tiga bulan menjelang pemilihan, berita-berita palsu yang menyokong Donald Trump dikongsi sebanyak 30 juta kali di media sosial berbanding berita-berita yang mempunyai sifat yang sama yang memihak kepada Hillary Clinton hanya dikongsi sebanyak 7.6 juta kali.

Ternyata Donald Trump memenangi pilihan raya tersebut walaupun kebanyakan berita sebelum itu meramalkan sebaliknya.

Kajian itu juga mendapati bahawa sebanyak 36 kali iklan kempen di televisyen perlu disiarkan untuk menyamai impak persuasif yang dihasilkan oleh hanya satu (1) cerita berita palsu.

Begitulah impak dan besarnya pengaruh media sosial sekarang.

Di Malaysia pula, “fake news” mula mendapat perhatian khalayak setelah berlansungnya Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14.

Pihak kerajaan menghadapi kesukaran untuk membendung media sosial yang sarat dengan berita-berita palsu yang banyak menjejaskan pihak kerajaan dan rakyat sendiri.

Berbanding kerajaan terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang dilihat bersikap lebih terbuka dan tidak cuba mengawal media seperti yang dilakukan terdahulu.

Seorang aktivis berita yang agak terkenal di Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub, yang merupakan pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd dan merupakan Editor Akhbar Sinar Harian menyuarakan kebimbangannya tentang hal ini.

Beliau mengatakan, “Saya telah memperjuangkan kebebasan akhbar sejak dari mula Akhbar Watan diterbitkan pada awal tahun 80an dan sangat beristiqomah dengannya (kebebasan akhbar yang bertanggungjawab). Tetapi saya merasakan kebebasan berleluasa yang diamalkan oleh sesetengah portal berita kini, boleh menghancurkan negara ini.”

“Tajuk berita yang begitu provokatif dan instigatif adalah terlalu merbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Negara kita masih terlalu rapuh dan tidak bersedia untuk kebebasan mutlak. Untuk memelihara generasi yang akan datang saya menyokong tindakan kerajaan sekarang untuk mengawal media sebelum terlewat”

Christiane Amanpour, seorang wartawan dunia yang terkenal di atas kredibiliti beliau dalam menemuramah pemimpin-pemimpin dunia dan melakukan aksi-aksi berani membuat liputan sebenar keadaan peperangan di Timur Tengah, juga menyatakan kebimbangannya mengenai fenomena “fake news” ini.

Beliau berpendapat “fake news”, terutama yang disebarkan oleh negara-negara kuasa besar telah mengalih pandangan dunia dari keadaan sebenar yang berlaku di negara-negara yang mengalami peperangan di rantau tersebut.

Terlalu banyak berita palsu yang disebarkan sehingga masyarakat dunia dikelirukan mengenai berita sebenar angkara “fake news” yang disebarkan kuasa dunia. Ternyata fenomena ini adalah masalah global yang kritikal.

Bagaimanakah kita boleh memelihara diri kita dari terjebak atau ditipu oleh “fake news” yang berleluasa ini.

Banyak pandangan dikemukakan pelbagai pihak sama ada ahli akademik, wartawan, pakar IT dan pengamal media yang boleh kita jadikan panduan seperti di bawah: –

PENYEMAKAN DAN PENYELIDIKAN

Petua pertama yang dicadangkan ialah untuk cuba memahami, menyemak dan menyeldik terlebih dahulu sesuatu berita.

Jika anda dapat memahami fakta dibelakang sesuatu cerita atau berita itu, anda akan mempunyai konteks yang lebih baik.

Setiap orang berhak atas pendapat mereka, tetapi jika terdapat sejumlah kumpulan profesional atau autoriti yang jujur dan besar yang menyokong sesuatu berita, ia boleh menjadi petunjuk untuk anda memahami atau mempercayai sesuatu berita itu.

Anda juga mestilah bersikap adil, seimbang, terbuka dan berusaha mencari kebenaran.

Jika anda seorang Islam anda juga mestilah bersungguh-sungguh memohon kepada Allah untuk tunjukkan kebenaran itu kepada anda.

OBJEKTIVITI

Salah satu perkara yang juga penting dalam mencari kebenaran ialah bersikap objektif.

Maksudnya, jika anda berhadapan dengan sesuatu berita atau informasi anda perlu melihatnya dari pelbagai sudut dan tidak hanya tertumpu untuk melihat dari perspektif peribadi anda sendiri sahaja.

Sikap objektif ini adalah berbeza daripada cuba bersikap adil dan seimbang tadi.

Objektiviti bermakna memberikan semua pendengaran yang sama dan bercakap kepada semua pihak, tetapi tidak memperlakukan semua pihak secara sama rata kerana mungkin sesuatu pihak itu lemah berbanding dengan sesuatu pihak yang bertentangan dengannya.

Oleh kerana kelemahannya itu menyebabkan kebenarannya tidak dapat ditimbulkan.

Menjadi suatu masalah besar di dunia hari ini kerana hampir kesemua media sosial mempunyai algoritma yang diprogram untuk mendorong penggunanya hanya bias atau tertumpu kepada sesuatu yang diminati atau yang kerap dikunjunginya sahaja.

Contohnya jika anda adalah peminat atau pengguna sistem operasi Android daripada Google, maka anda akan dapati banyak posting yang anda temui dalam media sosial adalah berkaitan dengan sistem tersebut sahaja dan tidak dari sistem operasi iPhone dari Apple atau sistem operasi lain seperti Linux misalnya yang tidak kurang bagusnya.

Begitu juga dengan berita-berita politik, jika anda adalah penyokong sesuatu parti dan parti anda memburuk-burukkan parti lain, maka hanya berita yang seperti itu sahaja yang anda akan jumpa dalam posting media sosial anda, sedangkan cerita yang sebenar mungkin terlepas daripada pandangan anda.

Sikap objektiviti ini adalah sangat mencabar untuk diamalkan namun ia berkesan untuk mencari kebenaran.

LANGKAH SETERUSNYA

Pada masa hadapan pihak berkuasa juga perlu mendesak syarikat-syarikat pemilik media sosial seperti Facebook, Twitter, Google, LinkedIn dan lain-lain yang berpengaruh untuk turut membantu mereka mengekang “fake news.”

Suatu algoritma baru perlu dicipta dan dilaksanakan untuk mengelakkan pengguna media sosial menjadi bias atau hanya terarah kepada sesuatu jenis pandangan atau pendapat, apatah lagi jika pandangan atau pendapat itu salah.

Syarikat-syarikat media sosial ini perlu merangka satu cara atau algoritma yang membolehkan penggunanya menjadi pengguna yang terbuka, adil, seimbang, objektif, bermoral dan berupaya membuat keputusan atau pendirian berdasarkan kepada kebenaran.

Mungkin sukar, tetapi ia adalah perlu untuk menyelamatkan dunia daripada “fake news”!

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

4 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

6 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

6 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

6 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

6 months ago