B-21 MU rombak pasukan

B-21 MU rombak pasukan

KETUA Jurulatih Bawah-21 (B-21) Melaka United, Sapian Wahid terpaksa direhatkan selepas anak buahnya gagal mencatatkan rekod baik dalam lima perlawanan berturut-turut pada saingan Piala Presiden musim ini.

Turut digugurkan tujuh lagi pemain dari pelbagai posisi yang dikatakan menjadi punca kepada prestasi hambar pasukan pelapis tersebut.

Pengurus Pasukan B-21 MU, Mohd Ashiq Abd. Samad berkata, buat sementara waktu skuad B-21 akan dikendalikan pembantu jurulatih, Rashid Mahmud.

Katanya, beberapa lagi pemain juga kini dalam pemerhatian dan berkemungkinan digugurkan jika tidak menepati syarat prestasi yang diinginkan.

“Secara jujurnya, saya kecewa dengan keputusan perlawanan, lima kekalahan berturut-turut yang diraih amat teruk.

“Oleh itu, selepas mesyuarat tergempar yang diadakan semalam, semuanya sepakat untuk merehatkan Sapian dan digantikan Rashid, termasuk penguguran beberapa pemain bagi mengembalikan semula kecemerlangan pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi memperkuatkan barisan jentera B-21 MU musim ini, empat bekas pemain B-21 Perlis turut dibawa masuk.

“Semoga ada perubahan dan saya amat mengharap tiada lagi rekod buruk berlaku, dalam masa sama pemain kekal bersemangat bermain demi lencana yang disarungkan,” katanya.

Mohd Ashiq turut memberitahu pasukannya tidak berdepan dengan masalah gaji seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak.

“Gaji saya yang ‘handle’ tiada masalah tentang perkara itu,” katanya.

Menurutnya, B-21 yang dijadualkan bertemu Terengganu 30 Mac ini dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dalam masa terdekat untuk menguji kekuatan baharu pasukan.

“B-21 akan menjalani latihan kem pada 19 hingga 21 Mac ini dan dijangka mengadakan perlawanan persahabatan selepas itu bagi menguji semangat baharu sebelum bertemu B-21 Terengganu,” katanya.

 

CATEGORIES