Categories: MELAKA

Atasi masalah golongan nelayan

NORHIZAM…Cari jalan penyelesaian.

AYER KEROH – Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee akan mengadakan dialog antara ketua-ketua agensi di bawah portfolionya bersama para nelayan seluruh negeri dalam masa terdekat.

Jelasnya, usaha ini bagi mencari jalan penyelesaian permasalahan yang dihadapi golongan terbabit.

Itulah reaksi Norhizam Hassan ketika diminta mengulas isu-isu dihadapi golongan nelayan melebihi 1,000 orang di seluruh Negeri Melaka.

Katanya, sesi dialog yang akan diadakan nanti bukan hanya nelayan di Perkampungan Portugis, malah nelayan di ketiga-tiga daerah dalam masa terdekat.

“Apa yang saya lihat, perkara ini sepatutnya telah diusahakan oleh pentadbir kerajaan negeri terdahulu, namun ia mendukacitakan,” ujarnya.

Mengulas rungutan nelayan di Perkampungan Portugis, Norhizam berpendapat, sekiranya projek pembangunan Pulau Melaka yang dilaksanakan pemaju hendak diteruskan, ia mestilah ada pemantauan rapi agar nasib nelayan yang terjejas dapat dibela.

“Ini kerana saya bertanggungjawab menjaga hal-hal kebajikan golongan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MelakaKini ketika diminta mengulas rungutan golongan nelayan di Perkampungan Portugis kesan pembangunan dilaksanakan pemaju telah menjejaskan pendapatan mereka.

Tegas Norhizam, antara implikasi dari kerja-kerja pembangunan dilaksanakan pemaju adalah kawasan persisiran pantai di Perkampungan Portugis menjadi cetek.

“Ini menyebabkan para nelayan di kampung terbabit tidak dapat keluar dan menghampiri jeti nelayan terdapat di kampung berkenaan.

“Hal ini menyebabkan mereka terpaksa meletakkan bot mereka di luar kawasan yang disediakan, akibatnya peralatan mereka mudah dicuri oleh golongan tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, ekosistem pembiakan ikan di kawasan berkenaan juga terjejas akibat kerja-kerja tambakan laun, sekali gus menyebabkan pendapatan golongan terbabit terjejas.

“Masalah ini turut dihadapi nelayan persisiran pantai di perkampungan terbabit yang melakukan kerja-kerja melanggai udang dan geragau.

“Apabila masalah mereka diajukan kepada pemaju, sehingga hari ini pampasan yang sepatutnya diberikan kepada nelayan di kampung terbabit masih tidak dibayar.

“Setakat ini, mereka hanya menerima RM3,200 dari pemaju Hotel Hatten Double Tree secara ‘one-off’,” jelasnya.

Sehubungan itu, Norhizam selaku Exco yang bertanggungjawab merasa terpanggil dan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ditanggung nelayan di kawasan berkenaan.

Norhizam turut mencadangkan agar lesen sementara golongan nelayan yang dikeluarkan agensi berkaitan dapat diberikan untuk tempoh lima tahun terutama kepada nelayan-nelayan baru.

“Dalam tempoh tersebut, sekiranya mereka ini aktif melaksanakan kerjaya mereka, jabatan berkaitan boleh menimbangkan untuk memasukkan mereka yang aktif ini menerima subsidi disediakan kerajaan seperti subsidi minyak, bantuan bulanan nelayan dan sebagainya.

“Bagi mereka yang tidak aktif, agensi terbabit berhak membatalkan lesen sementara dan mengeluarkan mereka dari senarai.

“Langkah ini diambil berikutan pelaksanaan pemberian lesen kepada nelayan baru hanya diberikan kepada anak-anak nelayan sedia ada.

“Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan nelayan baru yang ingin menceburi bidang tersebut setelah menamatkan perkhidmatan atau berpencen di tempat kerja lama mereka.

“Mereka ini ada kehidupan mereka sendiri selepas pencen dan bertanggungjawab menanggung perbelanjaan keluarga termasuk membiayai pembelajaran anak-anak yang ingin menyambung pelajaran dan sebagainya,” jelasnya.

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago