Asnaf terima bantuan pakaian sekolah

Asnaf terima bantuan pakaian sekolah

MELAKA TENGAH – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui Bahagian Agihan Zakat telah melaksanakan bantuan pakaian sekolah kepada anak-anak asnaf MAIM pada Disember 2018 lepas.

Bantuan pakaian berkenaan merupakan skim bantuan yang sentiasa dilaksanakan oleh MAIM pada setiap tahun untuk anak-anak asnaf yang masih bersekolah rendah mahupun menengah.

Menurut Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab seramai 8897 orang menerima bantuan pakaian sekolah tersebut yang terdiri daripada kalangan anak-anak asnaf fakir, miskin dan juga muallaf.

Beliau menjelaskan, kesemua mereka terdiri daripada seramai 256 orang asnaf fakir manakala 7,523 penerima merupakan dalam kalangan asnaf miskin.

Tambah beliau, MAIM juga menyerahkan bantuan pakaian sekolah kepada golongan saudara muslim ataupun muallaf yang mana seramai 1,118 orang layak menerima bantuan itu.

“Berkat daripada peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun ini, pihak MAIM telah mengambil langkah menambah baik agihan zakat khususnya melibatkan bantuan pakain sekolah.” ucapnya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Pakaian Sekolah Anak Asnaf MAIM baru-baru ini.

Katanya lagi, pada tahun ini nilai bantuan bagi setiap anak asnaf telah dibaikkan kepada RM 300 berbanding RM 200 pada tahun lepas.

“Kita membantu mereka bagi meringankan beban mereka yang akan menghadapi musim persekolahan tidak lama lagi.” ujarnya.

Menurut Sofi, MAIM sentiasa akan memastikan kebajikan dan bantuan yang diberikan mampu meringankan beban di samping memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak asnaf.

CATEGORIES
TAGS