Aplikasi Respon Rakyat permudah rakyat salurkan aduan

Aplikasi Respon Rakyat permudah rakyat salurkan aduan

Bukti kerajaan ambil berat isu berkaitan rakyat

PANTAI PUTERI 8 Nov. – Aplikasi Respons Rakyat (RR) akan menjadi pemangkin kepada tindak balas kerajaan negeri untuk menyelesaikan segala aduan yang direkodkan dengan lebih pantas.

Menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, medium aduan rasmi kepada kerajaan negeri itu juga diwujudkan agar rakyat dapat berhubung terus kepada kerajaan terhadap sesuatu isu.

“Menerusi aplikasi ini, di peringkat kerajaan negeri pun boleh tahu (masalah yang diadukan) dan kita letakkan tempoh 15 hari untuk menyelesaikan isu sebagai respon kepada rakyat.

“Melalui kaedah ini, kita boleh pantau dan bertindak balas terhadap makluman yang dikemukakan dan ia dipermudahkan.

“Kita ada beberapa kaedah untuk memudahkan rakyat (melakukan aduan), oleh itu menerusi trend aplikasi seperti ini, dia lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian aplikasi itu di Hotel Pantai Puteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, aplikasi aduan di atas talian yang dilancarkan itu tidak akan mengganggu perjalanan Hari Bertemu Rakyat (HBR) yang diadakan setiap Jumaat.

HBR jelasnya, akan diteruskan seperti biasa sebagai medium rakyat berjumpa terus dengan Ketua Menteri untuk mengemukakan pandangan.

“Memandangkan HBR juga telah menyelesaikan sekitar 80 peratus aduan, jadi dengan adanya aplikasi seperti ini, kita akan menerima lebih banyak maklumat daripada rakyat Melaka dan pelancong, dalam masa sama turut menilai ruang menambahbaik perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Sehingga 31 Oktober lalu, lebih 10,000 aduan diterima menerusi HBR, aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Whatsapp dan Facebook YAB Ketua Menteri serta Respon Rakyat sebanyak 131 aduan.

CATEGORIES
TAGS