Aplikasi ‘Mata’ UTeM juara Inovasi Kebangsaan UNIMAKER 2019

Aplikasi ‘Mata’ UTeM juara Inovasi Kebangsaan UNIMAKER 2019

Tahniah atas kejayaan UTeM

PUTRAJAYA 11 Nov. – Dua pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan UNIMAKER 2019 selepas berjaya menyiapkan aplikasi untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Kedua-dua peserta berkenaan, Nur Aliah Mohamad Napiah dan Nurul Najwa Zawawi mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan aplikasi yang diberi nama ‘Mata’ bagi membantu golongan OKU mengenal pasti jenis duit, warna serta mencari barangan.

Nur Aliah berkata, aplikasi berkenaan kini boleh dimuat turun menerusi aplikasi Google Appstore dan mampu berfungsi tanpa sebarang penggunaan data internet.

“Setakat ini, ada lebih 30 barang boleh kenal pasti oleh aplikasi ini terutama yang berada di rumah dan dijangka bilangan barang yang boleh dikenal pasti akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Putrajaya baru-baru ini dan kedua-dua peserta membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM5,000 sekali gus menewaskan lebih 40 peserta dari 20 universiti awam di seluruh negara yang mengambil bahagian.

Sementara itu, Jurutera Pengajar FTKEE yang juga penyelia kedua-dua pelajar berkenaan, Noor Mohd Ariff Brahin berkata, kedua-dua pelajar berkenaan menjalankan pelbagai penyelidikan berkaitan maklumat yang diperlukan golongan tersebut.

“Menerusi penyelidikan itu, kedua-dua mereka mendapati kebanyakan golongan OKU penglihatan mengalami kesukaran untuk mengenal pasti jenis wang dan mencari barang seperti kunci serta tongkat,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Cancelor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pencapaian diraih kedua-dua mahasiswi berkenaan.

Kejayaan itu jelasnya, membuktikan pelajar UTeM mampu mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.

“Menerusi aplikasi Mata yang dibangunkan itu, golongan OKU penglihatan hanya perlu menghalakan kamera ke sesuatu objek bagi mengenal pasti objek tersebut dengan mudah,” katanya.

 

Farah Suhaidah Othman

CATEGORIES