Apakah teknologi `blockchain?’

Apakah teknologi `blockchain?’

Apa yang anda faham mengenai teknologi Blockchain?

Oleh: Zaipul Anwar Zainu
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak

SEORANG rakan bertanya kepada saya, “Jika kau ada masa untuk menguasai satu sahaja teknologi pada tahun hadapan dan teknologi itu adalah teknologi yang boleh merubah dunia, teknologi apa yang kau hendak kuasai?”

Saya menjawab dengan pantas, “Blockchain Technology!”

Blockchain Technology? Teknologi apa tu?

Saya menggaru kepala kerana merasa kesukaran untuk menerangkan tentang teknologi ini
secara ringkas dalam bahasa yang mudah difahami kerana saya pun bukanlah pandai dalam teknologi ini.

Tambahan pula teknologi ini terlalu luas skopnya dan masih dikira sangat baru lagi di dunia ini.

Ia boleh berubah menjadi pelbagai perkara yang kita tidak duga pada masa hadapan.

“Ok aku cuba explain kat kau ya. Teknologi Blockchain ini adalah internet generasi kedua, atau Internet 2.0”.

Jawab saya secara teragak-agak kerana saya telah mencipta satu definisi baru kepada teknologi tersebut untuk memudahkan rakan saya itu memahaminya secara mudah.

Definisi tersebut saya cipta secara bebas kerana ia berbeza dari definisi yang biasa diberikan oleh pakar dalam teknologi tersebut tetapi saya kira ia cukup untuk menerangkan skop dan keupayaan teknologi ini kerana sememangnya teknologi ini berkait rapat dengan internet.

Ia mampu merubah dunia dan merangkumi pelbagai bidang yang sebelum ini telah dapat diubah dengan kewujudan internet itu sendiri.

Tidak ramai orang yang faham tentang bagaimana internet berfungsi tetapi ternyata jutaan bahkan berbilion manusia di muka bumi ini menggunakan internet dan menikmati
kemudahannya.

Begitu juga dengan teknologi blockchain ini.

Saya percaya tidak ramai orang yang memahami bagaimana teknologi ini berfungsi secara teknikalnya tetapi ramai orang yang akan dapat manfaat daripada teknologi ini pada masa hadapan.

BEZA ANTARA INTERNET DENGAN TEKNOLOGI BLOCKCHAIN

Apakah yang membezakan teknologi ini dengan teknologi internet yang ada sekarang?

Ciri-ciri utama yang membezakannya ialah dari aspek keselamatan dan cara datanya
(database) disimpan dan di‘sembunyikan’ (encrypted).

Contohnya, jika sekarang data kita disimpan secara sepusat (centralized-based) oleh syarikat gergasi seperti Google, Microsoft, Facebook dan Amazon, dengan teknologi blockchain perkara sebaliknya pula berlaku.

Data kita disimpan secara tidak sepusat (decentralized) dalam jutaaan rangkaian blockchain milik peribadi atau kumpulan yang tidak dikawal oleh syarikat gergasi ini.

Secara tidak langsung ia meningkatkan privasi dan kebebasan data peribadi kita yang sekarang ini menjadi antara isu utama dalam kalangan pengguna internet.

Dengan teknologi blockchain, data internet disimpan dalam bentuk blok yang berangkai dan diedar ke jutaan komputer di seluruh dunia melalui rangkaian internet untuk tujuan penyimpanan dan pengesahan.

Apabila data ini hendak diakses semula ia perlu mendapat ‘persetujuan’ daripada keseluruhan jutaan rangkaian komputer tadi untuk mengesahkan kedudukan data tersebut, ini menjadikan ia begitu selamat dan tidak dikawal oleh satu pengawal atau syarikat sahaja.

Sebarang perubahan kepada data tersebut hanya akan berlaku jika kita boleh godam
kesemua jutaan komputer tadi dan boleh menyusun semula susunan blok-blok database tadi dalam susunannya yang asal jika kita tahu lokasi dan identifikasi unik setiap satu komputer itu juga.

Sesuatu yang hampir mustahil untuk dilakukan.

Hal ini adalah seperti anda cuba menyusun sesuatu jigsaw puzzle yang besar tetapi setiap keping puzzle itu anda telah taburkan keseluruh dunia secara rambang sambil menutup mata dari atas sebuah kapalterbang.

Sesuatu yang hampir mustahil untuk dicari semula kesemuanya untuk menyusun semula jigsaw puzzle itu kerana anda tidak mengetahui lokasi puzzle itu dan siapakah yang memilikinya semasa anda ‘membuang’nya.

Secara ringkasnya juga, teknologi ini boleh memecahkan monopoli syarikat gergasi yang saya sebutkan tadi dan membuka ruang maya kepada persaingan yang lebih adil.

Seterusnya mari kita lihat pula kelebihan-kelebihan yang ada di dalam teknologi ini.

KELEBIHAN TEKNOLOGI BLOCKCHAIN

Dengan ciri-ciri keselamatan yang disebutkan tadi, teknologi ini boleh digunakan dalam pelbagai bidang terutama bidang yang memerlukan sistem kepercayaan (trust) terbina di dalamnya.

Untuk memudahkan kita memahami kelebihan teknologi ini dengan secara mudah, saya akan
gunakan transaksi kewangan sebagai contoh untuk penggunaan teknologi ini.

Sesuatu transaksi kewangan yang dilakukan di atas talian dengan menggunakan teknologi
blockchain akan menjadi lebih telus.

Seperti yang disebutkan dalam perenggan di atas tadi, data-data transaksi kewangan yang berlaku akan diedarkan ke dalam komputer dalam jaringan blockchain, sama dengan data yang ada pada individu yang melakukan transaksi itu.

Data atau maklumat tersebut hanya boleh diubah jika ada persetujuan atau consensus antara semua komputer dalam jaringan blockchain.

Ini menjadikan data dalam sistem blockchain adalah lebih tepat, konsisten dan telus kerana diverifikasikan oleh jutaan komputer.

Dengan cara ini, secara prinsipnya kita sudah tidak memerlukan pihak ketiga seperti bank untuk menjalankan transaksi kewangan kita, ia boleh dilakukan secara automatik dan transaksi kewangan itu dicatatkan dalam sistem blockchain untuk catatan dan untuk tujuan verifikasi.

Wang ringgit yang kita gunakan sekarang misalnya boleh ditukar ke dalam bentuk wang digital seperti Bitcoin dan ia boleh ditransaksikan secara maya ke mana-mana yang anda suka dalam jaringan blockchain tadi.

Semuanya secara automatik dan pantas, tanpa sempadan, selamat dengan kos yang sangat rendah berbanding dengan kos yang di kenakan oleh pihak bank jika anda hendak menghantar wang keluar negera misalnya.

Dari contoh atau usecase di atas, beberapa kelebihan boleh kita catatkan dari penggunaan blockchain ini iaitu: keselamatan, ketelusan, penjejakan (traceability), efisien, kepantasan dan kos yang lebih rendah.

CONTOH-CONTOH PENGGUNAAN TEKNOLOGI BLOCKCHAIN

Contoh-contoh penggunaan teknologi blockchain ini sebenarnya adalah sangat banyak.
Penggunaannya akan bertambah dari masa ke semasa dengan berkembangnya teknologi ini dan
apabila semakin ramai orang mengetahuinya.

Di bawah akan diterangkan contoh-contoh penggunaannya dalam beberapa aspek:
Keselamatan dan ketelusan.

Adalah sangat sukar bagi penggodam atau hackers untuk menggodam transaksi data di dalam
sistem blockchain. Oleh kerana maklumat atau data di dalam sistem blockchain ini di kongsi ke seluruh rangkaian komputer dan bukan ke dalam satu komputer atau server sahaja.

Contoh-contoh aplikasinya adalah seperti transaksi di dalam industri kewangan, kesihatan, perniagaan dan insuran.

Melindungi data yang sensitif adalah sangat penting di dalam industri seperti ini. Ianya adalah sangat diperlukan dan boleh membantu menaikkan lagi industri ini dengan mengelakkan penipuan dan meningkatkan integriti.

Pembolehjejak (traceability), efisien, pantas dan menjimatkan kos.

Jika anda menjual produk yang diniagakan melalui suatu rangkaian bekalan (supply chain) yang kompleks, anda tentu sedar akan betapa sukarnya untuk menjejaki semula kesemua dokumen, maklumat serta kedudukan fizikal asal barangan tersebut, terutamanya di dalam industri pengeluaran.

Teknologi blockchain membolehkan kesemua dokumen, maklumat serta kedudukan dan status
barangan tersebut dijejak dengan pantas dan dapat dikenal pasti data logistiknya dengan secara yang lebih tepat.

Maklumat terperinci transaksi barangan ini boleh membantu anda untuk mengenalpasti dan
mengesahkan status sesuatu aset atau barangan anda bagi mengelakkan penipuan. Suatu situasi yang sangat berguna juga jika sekiranya anda menjual barangan dengan menggunakan portal jualan secara dalam talian (e-commerce).

Menggunakan kaedah tradsional akan menyebabkan banyak masa serta dokumen fizikal di
perlukan di samping kesilapan manusia juga kerap berlaku.

Dengan teknologi blockchain, proses-proses ini boleh di selaraskan secara elektronik dan automasikan bagi meningkatkan efisiensinya, ditambah dengan penjimatan masa yang dapat dilakukan.

Kesemua kelebihan ini juga akhirnya akan dapat menghasilkan barangan atau
perkhidmatan yang lebih berkualiti dengan kos lebih rendah.

Ia boleh dicapai bukan sahaja kerana penjimatan masa dan proses tetapi juga kerana
teknologi blockchain membolehkan penglibatan pihak ketiga atau orang tengah diabaikan.

Anda juga tidak perlu menyemak terlalu banyak dokumen untuk menyempurnakan sesuatu
transaksi atau perdagangan kerana setiap orang dalam rantaian tersebut boleh menyemak kesahihan data dan maklumat transaksi anda yang dilindungi oleh sistem blockchain yang kebal dari godaman.

Begitulah hebatnya teknologi ini dan manfaatnya yang akan dapat dinikmati oleh manusia di seluruh dunia pada masa hadapan.

Pada ketika ini terdapat banyak firma perniagaan di seluruh dunia yang mengkaji impak teknologi ini kepada perniagaan mereka kerana teknologi ini boleh menjadikan mereka lebih relevan dalam industri atau terus gulung tikar.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES