Apa yang patut Presiden MUSA lakukan sekarang?

Apa yang patut Presiden MUSA lakukan sekarang?

Selamat maju jaya YB Damian....

MEMANDANGKAN Ketua Menteri, Adly Zahari telah melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), tumpuan kini pastinya terarah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li yang dilantik mengambil alih jawatan tertinggi badan induk bola sepak negeri itu.

Adly yang dilantik secara automatik sebagai Presiden MUSA selepas menjawat jawatan Ketua Menteri sebenarnya telah berjanji akan melepaskan tampuk pimpinan badan itu kepada individu lain yang lebih berkaliber selepas dua tahun.

Dan kini Adly menunaikan janjinya.

Melihat kepada perkembangan Melaka United (MU) di bawah kendalian Adly, Melaka United sebenarnya hampir sahaja menamatkan kempen Liga Super dengan cemerlang ekoran pembentukan pasukan yang agak utuh.

Namun wang tajaan penaja yang mana ia diluar bidang kuasa persatuan, membuatkan prestasi pasukan dilihat agak sederhana.

Dan kini, Shen Li yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) telah pun diberi mandat menggalas tugas itu, bagaimanapun ke manakah arah MUSA akan dibawa selepas ini.

Kenyataan terakhir yang diberikannya adalah tumpuan akan diberikan terhadap kebajikan pemain sebagai majikan, ketelusan penajaan, program pembangunan dan isu tunggakan gaji.

Namun, bercerita mengenai persatuan, ia sebenarnya sesuatu yang lebih besar, apatah lagi apabila membabitkan MU yang merupakan jenama arena bolasepak Melaka jika ia dilihat dari sudut pelancongan sukan.

Mungkin ada baiknya, tetapi tumpuan teliti perlu diberikan terhadap beberapa aspek buat masa ini, pengambilan atlit dan pembangunan atlit Melaka.

Keduanya ini memainkan peranan penting, mengapa ? pertama jika perhatian serius diberikan terhadap soal pembangunan sukan seperti Kedah misalnya, untuk jangka masa panjang bagi 10 atau 20 tahun ke depan, MUSA mungkin tidak perlu lagi mengambil pemain luar.

Bukankah ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan apabila anak jati kelahiran negeri sendiri yang memacu perkembangan negeri, apatah lagi ada kemungkinan perbelanjaan bagi mendapatkan khidmat pemain berkualiti dapat dikurangkan dan bajet yang diumumkan mampu diberikan kepada bahagian lagi seperti penambahbaikan fasiliti, promosi dan lain-lain.

Kedua, jika kedua elemen ini digarapkan sebaik-baiknya dengan resipi tertentu, Melaka berpeluang muncul kembali sebagai kilang atlit seperti era 80 dan 90an.

Mengapa kilang pemain ini penting, soal modal mestilah menjadi pertanyaan, lihat bagaimana Arsene Wenger memimpin Arsenal sejak 1996 dan caranya mencari bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan seperti Robin Van Persia, Emmanuel Adebayor, Samir Nasri dan sudah tentu legenda ‘The Gunners’ Thiery Henry

Kesemua datang dari kelab pembangunan dan sudah tentu harga perpindahan mereka ketika itu agak rendah, setelah digilap bakatnya, mereka ini kemudiannya menjadi buruan pasukan ternama Liga Perdana Inggeris.

Ketiga, pemilihan pemain yang perlu diketatkan, usah berbelanja melebihi bajet, ukurlah baju di badan sendiri, dapatkan alternatif sebaik yang boleh dan lihatlah sendiri rekod kecederaan lampau pemain agar ia tidak menganggu perjalanan MU.

Buat Presiden baharu, masa depan MUSA buat masa ini masih lagi samar-samar, jika visinya masih lagi kabur, tidak salah juga kelab mendengar pendapat dari legenda bola sepak Melaka.

Untuk rekod, Melaka mempunyai ramai legenda bola sepak, antaranya Soh Chin Aun, Remeli Junit, Abdul Halim Jantan dan lain-lain yang mana senarainya terlalu panjang.

Mungkin teguran mereka adakalanya sedikit keras, namun jika mesejnya diambil secara ilmiah, ia sebenarnya boleh membantu persatuan, gunakan mereka ini sehabis-habisnya.

Apa yang terjadi ketika ini, sebahagian legenda di Melaka lebih gemar berdiam diri, pertama sedang terikat bersama persatuan dan lebih selesa mengambil jalan selamat.

Kedua, sudah penat bersuara kerana kebanyakan idea yang dilontarkan seolah dibakul-sampahkan.

Kesemua ini penting, buat Shen Li, menunduk jangan sampai dipijak, mendada jangan sampai dihina.

Laksanakan perkara penting dahulu dan tinggalkan perkara sampingan buat sementara, semoga tabah memimpin MUSA dan selamat maju jaya.

CATEGORIES