Angkasa nafi terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman

Angkasa nafi terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman

Nama dan logo Angkasa disalahgunakan oleh sindiket terbabit kerana ramai penjawat awam telah ditipu dengan modus operandi sindiket berkenaan.

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui anak syarikatnya MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd menafikan bahawa mereka terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal baru-baru ini.

Pengarah MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata nama dan logo Angkasa disalahgunakan oleh sindiket itu kerana ramai penjawat awam telah ditipu dengan modus operandi sindiket berkenaan.

“Kami menafikan laporan portal itu yang menyatakan Angkasa terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman kerana Angkasa dan MyAngkasa Az Zahra baru-baru ini telah membangunkan satu portal dinamakan Portal My AzZahra dan ia dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada 25 Jan lepas.

“Hanya koperasi yang disahkan dengan portal ini yang layak untuk memberi pinjaman dan Angkasa hanya memainkan peranan meluluskan pemotongan gaji pemohon,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata kakitangan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendaftar di bawah Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA) dan ingin membuat pinjaman dengan koperasi perlu berbuat demikian dengan mana-mana 15 koperasi yang berdaftar dengan portal ini kerana operasinya terjamin selain mempunyai fungsi Audit Trail.

Mohamad Shaharul merujuk kepada satu laporan portal dalam talian, mengenai kewujudan sindiket penipuan pinjaman menggunakan nama Angkasa untuk memalsukan penyata gaji peminjam dan menyerahkan hanya 50 peratus daripada keseluruhan jumlah pinjaman.

Beliau berkata Portal My AzZahra mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dan semua data peribadi pemohon akan dilindungi di bawah akta itu dan portal ini juga menghimpunkan produk pembiayaan koperasi patuh syariah.

“Kewujudan portal ini adalah untuk meminimumkan penglibatan ejen atau orang tengah dengan menghubungkan pemohon terus kepada koperasi yang ada dalam portal ini serta mengelak kemungkinan penipuan oleh syarikat kredit atau along,” katanya.

Beliau turut menegaskan penglibatan koperasi dalam portal itu telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Angkasa dan MyAngkasa Az Zahra, serta hanya koperasi yang berkelayakan dengan rekod bersih selain menawarkan hanya produk yang diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang dibenarkan menawarkan pinjaman.- BERNAMA

 

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka dengan Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS