ANGKASA guna teknologi Korea Selatan ternak lembu tenusu

ANGKASA guna teknologi Korea Selatan ternak lembu tenusu

Teknologi Korea Selatan jadi pilihan ANGKASA. Anyeong :-) Projek tersebut hasil kerjasama bersama Koperasi Korea dan pelbagai bantuan dari segi teknikal dari negara itu kerana projek tersebut memerlukan teknologi Korea Selatan yang membekalkan sperma atau semen.

AYER KEROH 12 April – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah memulakan projek perintis lembu tenusu kacukan Korea Selatan, Australia dan New Zealand bermula awal tahun lalu.

Ahli Lembaga Koperasi Antarabangsa merangkap Timbalan Presiden ANGKASA,  Datuk Kamaruddin Ismail berkata, projek tersebut dapat mengurangkan kebergantungan susu import hampir 90 peratus.

Katanya, projek tersebut hasil kerjasama bersama Koperasi Korea dan pelbagai bantuan dari segi teknikal dari negara itu kerana projek tersebut memerlukan teknologi Korea Selatan yang membekalkan sperma atau semen.

Jelasnya, menerusi projek itu, ANGKASA membeli 1,500 benih sperma jantan dikahwinkan secara permanian beradas dengan lembu betina baka Australia dan New Zealand yang diimport.

“Ketika ini, terdapat dua projek telah dilaksanakan oleh Koperasi Mardi (KOMARDI) di ladang Londah dan Gadung di Negeri Sembilan yang melibatkan 100 ekor lembu induk di setiap kawasan.

“Selepas dikacukkan, lembu-lembu tenusu ini mampu menghasilkan susu dari 20 ke 25 liter sehari, ini kerana lembu tempatan hanya mampu hasilkan 8 hingga 10 liter sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Persidangan ANGKASA di Hotel Muzaffar, di sini, semalam.

Jelasnya, melalui kerjasama tersebut, pengeluaran susu lembu keluaran koperasi dapat ditingkatkan memandangkan Korea Selatan adalah pengeluar susu lembu ketiga terbesar dunia.

Katanya, jika projek tersebut berjaya, ianya akan memberi manfaat kepada 200 ahli koperasi dan koperasi-koperasi harus merebut peluang yang dihasratkan kerajaan menjelang 2020 dengan sasaran pengeluaran susu meningkat.

“Diharapkan kerjasama ini menjadi titik permulaan bagi pembangunan industri tenusu yang lebih produktif dan mampu meningkatkan pendapatan koperasi dalam masa yang sama dapat membantu anggota-anggota koperasi,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS