Analisis : ECRL ‘baharu’ selamatkan Malaysia dari perangkap hutang

Analisis : ECRL ‘baharu’ selamatkan Malaysia dari perangkap hutang

Perjanjian baru ECRL selamatkan Malaysia dari menanggung hutang mega

KEPUTUSAN Kerajaan Malaysia untuk menyambung semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kos yang lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dilihat sebagai langkah yang wajar bagi mengelak negara terjebak dengan perangkap hutang.

Projek ECRL itu dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Terdahulu, Malaysia-China menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL di Beijing China baru-baru ini, membabitkan wakil Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Malah, jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Jarak landasan baharu yang bakal dibina itu meliputi sejauh 648 kilometer berbanding rancangan awal sejauh 688 kilometer.

DAIM

Wakil Khas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menjelaskan ciri lain seperti landasan berkembar bagaimanapun masih dikekalkan sepertimana perjanjian asal.

“Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya seperti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

PERJANJIAN BAHARU ECRL KEMENANGAN BESAR TUN MAHATHIR

Seorang Profesor Ekonomi antarabangsa, Panos Mourdoukoutas berpendapat perjanjian baharu tersebut merupakan kemenangan besar buat Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Untuk berurusan dengan China, Malaysia berani memulakan langkah yang mana negara Sri Lanka, Pakistan dan Filipina tidak berani melakukannya iaitu mengheret Beijing (China) kembali ke meja perundingan bagi menetapkan pengurangan kos pelaburan projek itu (ECRL) yang dilaksanakan oleh kontraktor dari negara Tembok Besar itu,” katanya menerusi satu kenyataannya di portal berita ekonomi antarabangsa baru-baru ini.

Jelasnya, projek ECRL dilihat lebih menjurus kepentingan Beijing berbanding kepentingan kepada Kuala Lumpur (Malaysia).

Katanya projek infrastruktur China yang berkembang di seluruh dunia adalah sebahagian daripada tawarannya untuk menjadi peneraju globalisasi di samping memajukan agenda geopolitik Beijing.

“Walaubagaimanapun, banyak projek infrastruktur China tidak berdaya maju kerana ia dibina dengan kos yang tinggi dan meninggalkan negara-negara yang terbabit dengan hutang kepada Beijing,” katanya.

PROJEK MEGA MENJADI HUTANG MEGA BUAT NEGARA TERLIBAT

Jika dikaji sejarah semasa, Mourdoukoutas menjelaskan terdapat beberapa projek infrastruktur China di Sri Lanka menerusi projek Pelabuhan Laut Dalam Hambantota, Kompleks Colombo Port City dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa kini menjadi projek ‘Gajah Putih’ dan memaksa Sri Lanka terjerumus dalam perangkap hutang.

“Projek yang terlalu mahal meninggalkan Sri Lanka tidak mampu menampung $8 bilion (RM32 bilion), atau sekitar 10% daripada hutang negara pulau itu. Angka itu adalah hampir sama dengan apa yang Sri Lanka berhutang dengan Jepun dan India, tetapi adalah meragukan bagaimana pinjaman China telah digunakan untuk membiayai projek yang hanya menjana pendapatan yang sedikit,” katanya yang memetik kenyataan penulis Current History Neil DeVotta dan Sumit Ganguly.

Keadaan ini telah menimbulkan tuduhan bahawa China berusaha untuk menarik perhatian negara-negara yang strategik (yang lain termasuk Djibouti dan Maldives) ke dalam perangkap hutang yang kemudiannya memanfaatkannya untuk mengawal infrastruktur utama.

Mourdoukoutas berkata, Dr. Mahathir telah berusaha untuk mengelak daripada terjebak dalam perangkap yang sama sepertimana dilakukan kepada Sri Lanka dan Dr. Mahathir melakukannya dengan jayanya dalam merundingkan semula kos ECRL.

CATEGORIES
TAGS