Amaran Ribut Petir: APM siapsiaga persediaan bencana

Amaran Ribut Petir: APM siapsiaga persediaan bencana

Ikuti arahan pihak berkuasa jika diarahkan pindah. Jangan ingkar kerana ia akan menyusahkan pelbagai pihak...

AYER KEROH 17 Jun – Melaka antara tiga negeri tersenarai dalam Amaran Ribut Petir termasuk beberapa kawasan di Johor dan Negeri Sembilan.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Kamarulsyah Muslim berkata, pihaknya telah melakukan persiapan selepas kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteoerologi Malaysia (MET) pagi tadi bagi memastikan pasukan itu bersedia jika bencana berlaku.

Ujarnya, beberapa pasukan telah melakukan rondaan terutama di kawasan berisiko banjir di negeri ini pagi tadi.

“Setiap daerah akan ada satu pasukan APM yang memantau khususnya lokasi utama bencana dan setakat ini operasi rondaan sedang berjalan.

“Sekiranya hujan lebat berlarutan melebihi tiga jam penduduk disarankan melakukan persediaan terutama menyimpan dokumen penting serta memastikan barangan keperluan asas yang penting diselamatkan dahulu.

“Hujan melebihi tiga hingga empat jam kadangkala membuatkan saluran air melimpah jadi sekiranya perkara ini berlaku penduduk perlu melaporkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan perlu melaporkan kepada Pegawai Daerah bagi tindakan susulan.

“Perkara ini akan memudahkan pengurusan, termasuk memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malah jika berlaku kecemasan, mereka disaran menghubungi 999 atau Pusat Panggilan Nombor Melaka (ONCC) di 06-3333333,” katanya ketika dihubungi MelakaKini, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya serius dalam memastikan rondaan berterusan sepanjang amaran ini sebagai persediaan awal bencana.

“Kami akan tumpukan di beberapa lokasi utama melalui beberapa daerah termasuk, Gadek, Pengkalan, Brisu, Kesidang, Tengkera, Asahan serta pelbagai lagi,” katanya.

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka. Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS