All Stars Buka Panggung tampil artis popular

All Stars Buka Panggung tampil artis popular

Semoga terhibur...

ASTRO Warna melancarkan program All Stars Buka Panggung yang merupakan sebuah pertandingan stagecom (komedi pentas) berkonsepkan realiti.

Menariknya, ramai nama besar ditampilkan menerusi program ini seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Datin Diana Danielle, Rita Rudaini, Fizo Omar, Fauzi Nawawi dan Zulhuzaimy yang dicabar untuk mencuba nasib dalam seni komedi improv.

 

Keunikan program ini terletak pada formatnya yang menguji dan mencabar pelakon hebat tanah air untuk beraksi dalam babak komedi pentas yang penuh dengan elemen kejutan.

Peserta tidak akan diberikan sebarang pembayang mengenai situasi dan set sketsa di sebalik tirai tetapi mereka hanya akan mengetahui situasi tersebut di saat tirai dibuka dan apabila masuk ke set.

Tanpa sebarang skrip disediakan, peserta perlu mengadaptasi situasi ditugaskan dan membuat improvisasi dialog sendiri sambil berlakon.

Menggalas tugas hos adalah Ajak dan Shahrul daripada kumpulan Shiro yang pernah meraih takhta juara bagi program Raja Lawak Musim Ke-6 pada 2012 dan Maharaja Lawak Mega pada 2018.

Mereka dipilih atas kebolehan membuat jenaka secara bersahaja dan natural selari dengan konsep All Stars Buka Panggung.

Bersandarkan tagline, ‘Katakan Tidak Kepada Skrip’, penjurian bagi program ini 100 peratus daripada penonton yang membuat undian secara online.

Audiens di dewan dan di rumah boleh mengundi dengan melayari www.gempak.com/allstarsbukapanggung.

Lebih menarik, setiap pengundi hanya diberikan 10 undian pada setiap minggu.

Untuk lima minggu berturut-turut, barisan peserta akan berentap sesama mereka bagi merebut gelaran juara mingguan yang akan menerima sebuah trofi sebagai ganjaran.

Juara mingguan kemudiannya akan kembali di minggu keenam iaitu minggu separuh akhir di mana mereka ditugaskan berentap sekali lagi demi memastikan kedudukan mereka di pentas akhir.

Hanya empat peserta bakal beraksi di pusingan kemuncak bagi merebut gelaran juara seterusnya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 50,000 dan sebuah trofi.

All Star Buka Panggung bermula 6 September ini di saluran Astro Warna (CH132) dan Astro Warna HD (CH124) secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam, setiap Jumaat, jam 9 malam.

KELAINAN BUAT PENONTON

Pengurus Saluran Astro Warna, Prima dan InTrend, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya optimis memperkenalkan kandungan komedi dalam pelbagai format.

“Ia bertujuan memberi lebih pilihan dan pengalaman menonton yang mempersonakan buat pelanggan kami.

“Berbeza dengan pertandingan komedi diterbitkan sebelum ini, kami bawakan pula format baharu menerusi All Stars Buka Panggung yang mana buat julung kalinya pelakon popular tanah air yang akan memperlihatkan bakat terpendam mereka dalam bidang komedi dan lawak jenaka,” katanya.

Sebelum ini, jelas Norzeha, penonton Astro Warna biasa disajikan dengan persembahan komedi pentas bersahaja tanpa skrip dan improvisasi pelawak-pelawak tanah air.

“Tetapi hanya sebahagian pelakon yang pernah diundang sebagai ‘cameo’ atau jemputan seperti dalam rancangan Sepahtu Reunion.

“Berbeza kali ini, elemen tersebut diangkat menjadi sebuah pertandingan mencabar selebriti yang terdiri dari pelbagai bidang tugas tidak hanya pelawak,” katanya.

Tambahnya, bukan mudah untuk berlakon, apatah lagi untuk membuat lawak secara improv tanpa bersandarkan skrip rujukan.

“Untuk menguasai kedua-dua cabang seni ini (berlakon dan berlawak), ia memerlukan ilmu dan penghayatan luar biasa.

“Menerusi penganjuran program ini, kami ingin mencari titik keseimbangan melahirkan penggiat seni versatil seterusnya merangka struktur kandungan komedi berkualiti dan padat dengan mesej bermakna,” katanya.

TRIVIA

– Penerbitan All Stars Buka Panggung turut disokong Oppo, syarikat elektronik dan komunikasi mudah alih selaku penaja.

– Portal Zon Lawak di bawah Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital dan Gegar sebagai Rakan Radio Rasmi.

– Program ini juga mendapat sentuhan barisan pemuzik berpengalaman tanah air diketuai Rody Kristal selaku Pengarah Muzik.

– Format utama untuk menguji kehebatan lakonan dan lawak serta skil improvisasi barisan pelakon tanah air.

– Setiap minggu dalam setiap set skesta, barisan pelakon tetap akan bersedia disebalik tirai untuk memulakan sketsa yang menguji tahap kehebatan improv dan adlib (persembahan spontan).

– Antara contoh situasi, set sketsa dan watak yang akan diberikan kepada peserta adalah seperti suasana di tanah perkuburan, angkasa lepas, padang pasir, mahkamah dan banyak lagi.

– Setiap minggu juga peserta dikehendaki menyediakan satu lagu pilihan untuk diselitkan dalam persembahan sketsa. Lagu tersebut akan dimainkan secara rawak tanpa memberi sebarang klu pada peserta dan mereka perlu menyesuaikan situasi sketsa dengan lagu tersebut.

– Turut diundang pelakon All Legends terdiri daripada barisan selebriti popular tanah air sebagai plot twister di set sketsa.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS