Aktiviti luar mampu bina jati diri pelajar

Aktiviti luar mampu bina jati diri pelajar

Program gotong-royong mampu tingkat jati diri

MELAKA TENGAH 24 Sept. – Golongan pelajar disaran untuk terlibat aktif dengan pelbagai program yang mampu membentuk sahsiah dan jati diri.

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti sedemikian mampu memupuk nilai murni dan modal insan.

Menurut beliau, pembentukan sikap positif itu dilihat semakin merundum dalam kalangan masyarakat termasuk pelajar apabila budaya kerjasama semakin kurang ditonjolkan.

“Kita hari ini berada dalam dunia yang berbeza di mana sikap masyarakat berubah, kerjasama semakin hilang. Kebanyakan individu sekarang mementingkan diri.

“Kalau dulu budaya kongsi ilmu dengan mengajar rakan-rakan itu sinonim tetapi sekarang pelajar takut nak turunkan ilmu dengan kawan dia sebab nanti dia bimbang kawan dia lagi pandai.

“Bukankah itu sikap negatif. Namun, itulah dunia yang kita duduk hari ini, tak sama dengan cabaran pada tahun 1970-an dan 1980-an,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Semai Bakti Tanggungjawab Sosial di Kampung Bukit Kechil, di sini, hari ini.

Program gotong-royong oleh pelajar Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) Pagoh, Johor bersama penduduk kampung itu melibatkan kerja-kerja pembersihan di balai raya, surau dan tanah perkuburan.

Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, meskipun sumbangan peserta dalam aktiviti itu kelihatan kecil namun impaknya besar khususnya bagi menyemai sikap jati diri positif.

Sementara itu, Pengarah program, Nur Hazwani Saleh berkata, Program Semai Bakti antara pelajar PTSN dan komuniti di sini bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial pelajar terhadap masyarakat.

Terdahulu, kira-kira 100 peserta termasuk 31 pelajar dari Kelab Mesra Alam PTSN dan barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penduduk bergotong-royong membersihkan persekitaran Kampung Bukit Kechil.

 

oleh: NUR ALINA HASSAN

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES