Categories: NASIONAL

Agong kagum dengan pencapaian Putrajaya

PUTRAJAYA, 5 Nov. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kekaguman terhadap pencapaian Putrajaya yang sering mendapat pujian dan hebat diperkatakan pemimpin negara asing.

Berkongsi kisah pertemuan bersama pemimpin asing ketika berkenan menyempurnakan Kongres Perancangan Bandar Kebangsaan 2019 di sini hari ini, menurut Seri Paduka terdapat pemimpin asing yang berhasrat mempelajari pencapaian atau perancangan Putrajaya.

“Saya ingin berkongsi sedikit, apabila saya bertemu dengan ketua-ketua negara kebelakangan ini, ada juga pemimpin-pemimpin negara asing khususnya ketua-ketua negara yang telah menyatakan tentang betapa cantiknya Putrajaya.

“Dan ini satu point yang harus kita semua rasa bangga kerana ada juga di antara mereka yang menyuarakan hasrat untuk mempelajari pencapaian atau perancangan yang telah dibuat oleh kerajaan,” titah Seri Paduka dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Ketika bertitah, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi kisah bahawa baginda hanya dapat mengenali Putrajaya dengan lebih dekat sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mengaku saya orang kampung. Bila masuk bandar, perasaan saya begitu terharu. Dan sudah tentu Putrajaya ini, memang satu bandar yang baharu bagi saya. Kalau saya tidak memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong mungkin saya tak tahu sangat bandar Putrajaya ini. Setahun sekali (datang Putrajaya) pun mujurlah,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan penduduk Putrajaya supaya memiliki sikap yang bertepatan dengan konsep Putrajaya iaitu sebuah bandar pintar sebagaimana masyarakat di negara maju.

“Kita harap orang yang tinggal dalam bandar pintar ataupun bandar raya pintar ini adalah orang yang pintar. Yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi, disiplin yang tinggi dan mempunyai toleransi yang tinggi.

“Saya baru balik dari Jepun. Sempat tengok dan dapat dengar pandangan (masyarakat Jepun) dan saya begitu teruja dengan sikap mereka. Harap kita (rakyat Malaysia) dapat mengikuti dan mencontohi orang yang dikatakan lebih maju daripada kita,” titahnya.

Baginda turut menzahirkan hasrat berkenan untuk mencemar duli ke sambutan ulang tahun ke-25 Putrajaya pada tahun hadapan.

“Janganlah lupa menjemput saya. Bolehlah saya bersama-sama meraikan hari yang bersejarah itu dengan rasa bangga,” titah Al-Sultan Abdullah.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dalam ucapannya pada majlis itu berkata antara anugerah yang telah dimenangi Putrajaya dalam bidang perancangan bandar ialah Bandar Mampan Malaysia 2018, Bandar Pelancongan Bersih ASEAN 2018, Bandar Lestari ASEAN 2016 dan 2014.

Tasik Putrajaya pula diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco)  sebagai satu daripada warisan dunia iaitu World Eco-hydrological Site.

Kongres dua hari yang bermula semalam itu diadakan bersempena sambutan Hari Perancangan Bandar Dunia. Bertemakan ‘Smart Partnership in the Digital Era’, kongres itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Putrajaya dan Pertubuhan Perancang Malaysia serta rakan strategik seperti Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan universiti awam.- BERNAMA

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

2 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

5 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

5 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

5 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

5 months ago