ADUN Sungai Rambai hadapi 34 tuduhan pecah amanah

ADUN Sungai Rambai hadapi 34 tuduhan pecah amanah

Didakwa pecah amanah...

 

AYER KEROH 9 Julai- Bekas Exco Negeri dan bekas keraninya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menyeleweng dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjumlah lebih RM300,000 dua tahun lalu.

Tertuduh yang masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman,57 dan Khuzaimah Abdullah,34, masing-masing dihadapkan dengan 34 pertuduhan berasingan dihadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut 34 pertuduhan terhadap Hasan, dia didakwa melakukan pecah amanah ke atas peruntukan dana NBOS negeri Melaka pada tahun 2016 bagi tiga projek iaitu Tanaman Jagung; Ternakan Rusa dan Tanaman Pisang dan Sayuran Gantian Cili dengan menandatangani cek bernilai keseluruhan wang RM318,400.

Kesemua pembayaran tersebut bagaimanapun tidak diterima oleh penerima projek tersebut dan kesalahan tersebut dilakukan di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai sekitar 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Sementara itu, Khuzaimah yang juga bekas kerani di JAPERUN berkenaan turut berdepan 34 pertuduhan atas dakwaan sama bersubahat dengan Hasan untuk melakukan pecah amanah melibatkan nilai dan tempoh masa yang sama.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Gan Peng Kun mencadangkan jaminan RM50,000 terhadap kedua-dua tertuduh serta meminta passport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Hakim kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Ogos depan bagi sebutan semua kes dan serahan dokumen.

Hasan di wakili peguam Hamidi Mohd Noh dan Mohd Haziq Zali manakala Khuzaimah diwakili peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin.

CATEGORIES
TAGS