ADUN & MPKK jangan sisihkan B40, M40, belia

ADUN & MPKK jangan sisihkan B40, M40, belia

KLEBANG 12 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dinasihat memperjuangkan nasib golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), golongan pertengahan (M40) dan belia.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkara itu perlu dititikberatkan supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dilabel mengikuti jejak kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ketiga-tiga golongan itu terutamanya yang masih muda memainkan peranan penting menentukan kerajaan pimpinan masa depan seperti yang berlaku Mei lalu.

“Segmen masyarakat jangan ditinggalkan,  sama ada B40, M40 dan belia kerana kecuaian menguruskan mereka adalah kegagalan kita.

“Ketiga golongan ini perlu dibela disamping belia, yang jika hatinya tidak dijaga atau tidak puas mereka boleh menukar pimpinan sedia ada
seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat sebelum memulakan lawatan kerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, hari ini.

Adly berkata, peluang pekerjaan adalah antara aspek yang diinginkan ketiga golongan itu dan ADUN serta MPKK bertanggungjawab mengutip maklumat diperlukan semaksimum mungkin.

“Mereka mahukan peluang pekerjaan, lihat sahaja karnival kerjaya yang dibuka, ribuan pemohon datang tetapi, jawatan kosong hanya dua tiga kekosongan sahaja.

“Perkara ini wajar dilihat untuk mengetahui masalah sebenar dan pihak Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan (Japerun) perlu ada data ini bagi melihat langkah yang boleh diambil,” katanya

CATEGORIES
TAGS