ADUN diminta jaga disiplin – Speaker

ADUN diminta jaga disiplin – Speaker

ADUN perlu patuhi nasihat Speaker DUN kerana mereka adalah contoh kepada rakyat jelata. ADUN bukan budak sekolah lagi....

BANDARAYA MELAKA – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Omar Jaafar mengingatkan semua 28 ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang bersidang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 minggu depan, agar menjaga tingkah laku dan berdisiplin.

Tegas beliau, semua ADUN perlu meneliti aturan yang terdapat dalam buku peraturan sebelum masuk ke dewan persidangan.

Beliau yakin jika semua ADUN mematuhi peraturan, persidangan dapat dijalankan dengan lebih tenang dan teratur.

“Kita perlu menjimatkan masa kerana kita ada banyak soalan perlu dijawab. Satu lagi yang saya hendak tekankan ialah soal disiplin.

“Disiplin meliputi perlakuan dan tutur kata. Kalau kita tidak suka orang lain buat kepada kita, jangan buat pada orang lain, apa yang kita suka orang lain buat kepada kita maka kita kenalah buat perkara yang baik pada orang lain.

“Kalau kita tidak suka dimaki maka kita jangan maki orang. Kalau kita hendak dihormati, kita kena hormati orang lain juga,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Omar, sebanyak 159 soalan bertulis dan lisan akan dibentangkan pada Persidangan Kedua, Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14 kali ini.

Persidangan yang bermula jam 9.30 pagi itu berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh selama empat hari yang berakhir 18 Julai ini.

Seramai 28 ADUN akan terlibat dalam persidangan berkenaan yang bermula Isnin ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 kerusi DUN manakala selebihnya dimenangi Barisan Nasional (BN).

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS