Adly puas hati prestasi MU, pertimbang tambah peruntukan

Adly puas hati prestasi MU, pertimbang tambah peruntukan

Tidak mustahil misi untuk menduduki tangga kedua carta Liga Super akan tercapai jika pemain kekal fokus

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari akan melihat keperluan menambah jumlah peruntukan Melaka United (MU) musim depan selepas berpuas hati dengan pencapaian direkodkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan musim ini.

Skuad dipimpin Zainal musim ini menduduki carta ketiga liga selepas 20 perlawanan dengan kutipan 32 mata dan mempunyai peluang terbaik untuk merampas kedudukan Pahang di tempat kedua, jika berjaya memperoleh mata penuh bagi baki dua perlawanan lagi musim ini.

Bagaimanapun, pencapaian direkodkan Zainal yang mengambil alih kepimpinan skuad Sang Kancil musim ini menggantikan E. Elavarasan tampak lebih baik kerana berdasarkan rekod sepanjang penglibatan Sang Kancil di Liga Super, belum pernah skuad ini menduduki carta ketiga terbaik pada musim sebelumnyai.

“Kita akan lihat, kerana untuk tahun ini kita punyai strategi kewangan dan tahun depan kita akan nilai semula berdasarkan pelaburan yang telah dibuat terhadap pemain.

“Jadi bagaimana kita nak rencana kos tahun depan sama ada meningkatkannya adalah berdasarkan strategi yang dirangka.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian MU,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri hari ini.

Musim ini MU beraksi dengan peruntukan kurang RM3 juta iaitu RM18 juta berbanding RM21 juta musim lalu.

Sementara itu, Adly mengharapkan anak buah Zainal kekal fokus berdepan PKNS FC dan Pahang dalam misi mencari mata penuh untuk mendapatkan kedudukan terbaik.

“Memang kita perlu kemenangan, cuma peluang kita diganggu dengan pemain yang cedera, harap boleh akhiri baki perlawanan ini dengan kemenangan,” katanya.

Ditanya mengenai saguhati yang akan diberi kepada pemain dan pengurusan berdasarkan pencapaian musim ini, Adly berkata, perkara itu sedang difikirkan.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS