915 rumah dibina di Durian Tunggal

915 rumah dibina di Durian Tunggal

Alhamdulillah...usaha memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan menengah diutamakan Kerajaan....

AYER KEROH 15 Mei – Kerajaan Negeri Melaka bakal membina 915 unit rumah yang mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah di sekitar Durian Tunggal dan Alor Gajah.

Projek pembinaan itu melalui kerjasama dengan sebuah syarikat pemaju, Scientex Heights Sdn. Bhd. (Scientex) melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 2,520 unit rumah.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, projek perumahan itu membabitkan tiga jenis rumah iaitu Rumah Belia, Rumah Harapan dan Rumah Mampu Milik (RMM).

“Jumlah keseluruhan fasa 1 dan 2 projek itu membabitkan 173 Rumah Harapan, 280 Rumah Belia dan 462 unit RMM.

“Fasa 2 kita dah mulakan Mac lalu, bagi fasa 1 akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan keseluruhannya dijangka siap pada Mac 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Scientex di Bilik Bijasura Seri Negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Ketua Eksekutif LPM, Salleh Md Dom dan Pengarah Eksekutif Scientex Heights Sdn. Bhd., Alex Khaw.

Menurut Adly, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 1,605 adalah pembinaan bagi unit terbuka.

“Dengan adanya perjanjian ini, kita yakin bahawa keperluan perumahan dalam kalangan rakyat golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 dapat dipenuhi,” katanya.

CATEGORIES
TAGS