80% wanita berniaga di Bazar Melaka Kota Tun Fatimah

80% wanita berniaga di Bazar Melaka Kota Tun Fatimah

Ini membuktikan kerajaan negeri tidak memberi `ikan' sebaliknya beri `pancing' untuk rakyat berdikari

AYER KEROH 12 Sept. – Kira-kira 80 peratus usahawan wanita yang mendaftarkan di Bazar Melaka Kota Tun Fatimah di sini, telah memulakan perniagaan mereka di kawasan berkenaan sejak dibuka tiga minggu lalu.

Penganjur Bahagian Pemasaran dan Media bazar berkenaan, Shahrezza Abd. Karim berkata, majoriti peniaga di kawasan berkenaan merupakan golongan wanita sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkasa usahawan daripada golongan itu.

Ujarnya, setakat ini kira-kira 10 tapak gerai masih belum didaftarkan dan pihaknya menyasarkan kesemua tapak gerai yang dibuka di kawasan terbabit akan dipenuhi peniaga pada akhir bulan ini.

“Paling penting, kita utamakan golongan wanita bagi menyertai aktiviti perniagaan di kawasan ini malah kita juga memberi peluang kepada mereka yang tidak berpengalaman dalam perniagaan khususnya baru pertama kali menceburi dalam bidang keusahawanan.

“Perbadanan Melaka Holding (PMH) juga akan membantu mana-mana usahawan yang tidak mempunyai lesen perniagaan bagi mendapatkan ketetapan itu.

“Semua pemohon yang tidak mempunyai lesen perniagaan, kita akan bantu malah syarat yang diperlukan semasa pendaftaran hanyalah salinan kad pengenalan dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) saja.

“Untuk pelesenan, Insyallah pihak pengurusan akan membantu mereka, di sini ada juga peniaga wanita yang baru pertama kali berniaga dan kita berikan mereka peluang bagi menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Pada masa sama, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan lagi skala bazar itu pada fasa kedua dan ketiga bagi mempergiat aktiviti perniagaan di Kota Tun Fatimah.

Melalui perancangan itu, jelasnya, beberapa gerai lagi akan dibuka dan peluang tersebut akan disebar luas kepada usahawan di seluruh negeri ini.

“Kita akan membuka tapak gerai pada lorong lain di kawasan ini malah perancangan penutupan jalan bersebelahan Kota Tun Fatimah merupakan salah satu perancangan kami bagi membuka ‘Car boot sale’,” katanya.

Tambahnya, susunan jenis perniagaan di kawasan itu juga diatur secara sistematik bagi mengelakkan peniaga menjual produk sama.

“Kita telah susun dan mengehadkan jualan produk sama agar dapat mencipta kepelbagaian di bazar ini.

“Susunan jualan barangan kering dan basah seperti makanan dan minuman telah diatur dan melalui perancangan kami juga, ruangan jualan makanan dan minuman akan dibentuk sebagai ruangan ‘food avenue’ bagi memberi keselesaan pengunjung yang datang ke sini,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS