8 `kekuatan’ pacu ekonomi Melaka

8 `kekuatan’ pacu ekonomi Melaka

Tidak mustahil Melaka mampu menjadi negeri termaju di Malaysia

 

Oleh: ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak

 

 

PERTUMBUHAN pembangunan ekonomi yang berterusan adalah sesuatu yang menjadi idaman setiap negara di dunia. Antara cara yang terbaik dan paling ‘simple’ bagi memastikan pertumbuhan yang berterusan ialah dengan membangunkan negara itu berdasarkan kekuatan sedia ada dalam negara atau negeri itu sendiri. Menurut Gerald Adolph, penulis buku `Merge A Head: Mastering the Five Enduring Trends of Artful Mergers and Acquisitions’, terdapat tiga elemen penting yang perlu diambilkira bagi memastikan pertumbuhan pembangunan sesebuah negeri dan organisasi akan berterusan. Ketiga-tiga elemen itu ialah:

1. Tawaran nilai yang menarik pelanggan

2. Keupayaan tersendiri yang sukar ditandingi pesaing

3. Membangunkan kekuatan organisasi bagi menyokong elemen-elemen 1 dan 2 di atas.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga elemen ini, mari kita lihat secara ringkas kaitannya dengan situasi semasa pembangunan ekonomi di Melaka.

 

TAWARAN NILAI YANG MENARIK PELANGGAN

Elemen ini melihat kepada keupayaan sesuatu negeri untuk terus berupaya meningkatkan ekonominya dengan menawarkan produk atau perkhidmatan yang baru kepada pelanggan sedia ada dalam negeri itu.

Contoh mudah bagi Melaka adalah seperti produk pelancongannya. Adakah Melaka mampu menarik pelancong yang telah melawat ke negeri ini untuk terus datang lagi bagi menikmati produk baru pelancongannya?

Jika Melaka mampu, bermakna ia berjaya memenuhi elemen pertama pertumbuhan pembangunan berasaskan kekuatan sedia ada yang disebutkan tadi.

Contoh kedua pula ialah seperti penerokaan pembangunan industri baru yang belum pernah diteroka sebelum ini seperti pembangunan industri maritim antarabangsa – Melaka Gateway.

Adakah pelancong antarabangsa yang pernah melancong ke negeri ini, sanggup pula melancong ke negeri ini lagi dengan menggunakan jalan laut misalnya?

Jika jawapannya adalah ya, maka ia akan menjadi pencetus kepada pertumbuhan baru ekonomi negeri Melaka yang berasaskan pelancongan maritim.

 

KEUPAYAAN TERSENDIRI YANG SUKAR DITANDINGI PESAING

Melaka mempunyai banyak kelebihan atau kekuatan yang tidak atau sukar dimiliki negeri lain di Malaysia. Contohnya seperti yang tersenarai di bawah:

1. Melaka diiktiraf sebagai di antara 10 destinasi pelancongan terbaik dunia pada Karnival Destinasi Pelancongan Dunia 2019 di Beijing, China baru-baru ini.

Melaka mewakili satu-satunya negeri di Malaysia yang menerima pengiktirafan itu. Melaka mempunyai banyak khazanah sejarah dan budaya bernilai tinggi yang tidak dimiliki negeri lain yang menjadi tali pengukur kepada kejayaan ini di tahap antarabangsa. Orang Melaka terkenal amat mementingkan hal-hal berkaitan dengan sejarah dan budaya berbanding negeri lain di Malaysia. Kita boleh secara rawak cuba duduk santai berbual dengan orang Melaka tentang cerita-cerita sejarah dan budaya, dengan pantas ia akan disambut dengan penuh minat dan beriya-iya.

2. Melaka juga terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian makanan yang menjadi tarikan pelancong seperti masakan asam pedasnya, roti canai kayu arang dan roti gulung, coconut shake, mango float, kuih keria antarabangsa, yong taufu, masakan nyonya, dodol, cendol dan pelbagai lagi makanan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

3. Dengan saiz negeri yang kecil, Melaka sering menjadi tempat di mana sesuatu prototaip atau pilot projek dilaksanakan. Ini membolehkan negeri ini menikmati sesuatu teknologi atau kemudahan prasarana yang lebih awal berbanding negeri lain di negara ini. Contohnya seperti keupayaan capaian internet berkelajuan tinggi 1 gb di daerah Jasin, perancangan dan pelaksanaan inisiatif hijau di dalam Green City Action Plan, pemasangan meter pintar, lampu LED dan perancangan Bandar Pintar atau Smart City yang secara beransur-ansur dilaksanakan di seluruh negeri. Melaka juga sebelum ini merupakan negeri pertama di Malaysia melaksanakan kempen teknologi hijau melalui Perbadanan Teknologi Hijau Melaka. Bukan setakat di negara ini, malah ia menjadi rujukan kepada bandar-bandar utama di ASEAN dan seluruh dunia sebagai model pelaksanaan teknologi hijau.

4. Kerana saiznya yang kecil juga, Melaka secara relatifnya lebih mudah diurus. Jarak antara satu lokasi dengan lokasi lain berada dalam masa kurang dari sejam, menjadikan logistik di negeri ini lebih pantas dan efisien. Kos pengurusan negeri juga adalah lebih rendah berbanding negeri lain. Melaka boleh mengambil contoh bagaimana Singapura menumpukan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi sahaja bagi membangunkan negara itu. Masih banyak peluang industri pengeluaran berteknologi tinggi yang boleh diteroka oleh Melaka dengan mencontohi Singapura misalnya.

5. Lokasinya yang strategik – berada di tengah-tengah perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura serta lokasinya yang berdekatan dengan Indonesia melalui pelabuhan Dumai adalah suatu kelebihan sedia ada di Melaka. Perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan memperbaiki Pelabuhan Tanjung Beruas sedia ada, dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri pada masa akan datang.

6. Secara umumnya kos sara hidup di Melaka berbanding dengan negeri-negeri lain yang berhampiran dengannya seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor adalah lebih rendah. Kos pemilikan rumah di Melaka misalnya adalah antara yang terendah di negara ini, begitu juga dengan kos penyewaan premis bangunan dan tapak industri. Kelebihan situasi ini boleh digunakan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelabur untuk datang menanam modal ke negeri ini. Suasana negeri yang masih kurang sesak, bersih, teratur, suasana kampung yang tidak berjauhan dari bandar, kemudahan prasarana dan pelancongan yang menarik adalah bonus kepada pelabur yang mahu melabur di negeri ini.

7. Tidak ramai mengetahui bahawa sebenarnya Melaka juga terkenal dengan industri pelancongan kesihatannya (health tourism). Ramai pelancong Indonesia datang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan kesihatan materniti dan rawatan perubatan alternatif. Pelancong kesihatan ini masih merasakan bahawa Melaka mampu menawarkan rawatan materniti yang lebih baik berbanding negara mereka dengan kos yang kompetitif. Melaka juga boleh memperbanyakkan pusat rawatan alternatif yang diiktiraf bagi menarik lebih ramai pelancong kesihatan terbang ke Melaka.

Kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang semakin baik dengan bertambahnya penerbangan domestik dan antarabangsa akan menyokong industri ini.

8. Terdapat lebih 40 institusi pendidikan awam dan swasta di Melaka yang berkualti dan bertaraf antarabangsa. Suasana Melaka yang aman, berbudaya dan bersejarah, serta kos sara hidup yang lebih rendah seperti disebutkan tadi boleh menjadi pencetus untuk menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk menuntut di negeri ini dan berpotensi untuk meningkatkan pendapatan industri pendidikan di negeri ini. Kesemua kelebihan di atas adalah antara kekuatan sedia ada yang boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan ekonomi Melaka. Seterusnya mari kita lihat apakah pemangkin yang boleh menjadi pengikat kepada semua kelebihan yang tersebut di atas bagi terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi Melaka.

 

MEMBANGUNKAN KEKUATAN ORGANISASI SOKONGAN

Bagi merealisasikan matlamat pertumbuhan pembangunan ekonomi berterusan, membangunkan organisasi yang boleh menyokong usaha kerajaan negeri adalah suatu kemestian dan menjadi keutamaan.

Usaha ini boleh dan telah dicapai dengan pelbagai cara, contohnya dengan membangun dan melatih semula sumber manusia yang ada, meningkatkan inovasi dalam kalangan pekerja dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan organsasi bagi memastikan objektif tercapai.

Walaupun usaha-usaha ini seperti biasa disebut dan telah dibincangkan berkali-kali di pelbagai organisasi sama ada di peringkat negeri atau negara tetapi tidak ramai yang melihat bagaimana kesemua kelebihan dan usaha ini dapat dihubungkaitkan bagi terus meningkatkan sinerginya.

Dengan menguat dan menghubungkaitkan kelebihan yang ada di Melaka serta meningkatkan jalinan usaha sokongan organisasi yang cemerlang, ditambah dengan ketelusan dan keadilan dalam pentadbiran kerajaan sekarang, objektif bagi mencapai pembangunan berterusan berdasarkan kekuatan sedia ada di Melaka dengan izin Allah akan terus menjadi kenyataan.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS