8 bulan tidak kemukakan laporan audit, kerajaan negeri ambil tindakan

8 bulan tidak kemukakan laporan audit, kerajaan negeri ambil tindakan

Jangan main-main bab audit ni...

AYER KEROH 18 Sept. – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan kepada salah sebuah persatuan nelayan di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah berikutan hampir lapan bulan tidak menerima laporan audit daripada persatuan itu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri memerlukan laporan audit daripada persatuan itu sebelum menyalurkan peruntukan bagi membangunkan kawasan eko-pelancongan di kawasan terbabit.

Dakwanya, persatuan yang dikelolakan di bawah Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) pada kerajaan sebelum ini pernah menerima peruntukan belasan jutaan Ringgit daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan di kawasan itu.

“Kita hanya perlukan laporan audit dari persatuan itu sebelum peruntukan dari kerajaan negeri disalurkan agar kita dapat bangunkan Eko-pelancongan di kawasan ini dan kami dapati pelbagai produk pelancongan boleh dibangunkan di kawasan ini dengan aset kehijauan hutan paya bakau di kawasan tersebut.

“Kita tak nak tuding jari pada sesiapa, sebagai Timbalan Pengerusi PPSPM di negeri ini kita hanya mahu bangunkan kawasan itu sebagai pusat pelancongan yang akan menjadi tumpuan pelancong. Jika tiada laporan audit, kita akan tamatkan dan PPSPM akan uruskan kawasan itu secara langsung.

“Saya tak mahu buat seperti itu, tak nak lukakan hati rakyat, kalau nak dilanjutkan kita boleh bantu, kita boleh tolong, cuma perlu nyatakan kemana wang itu dibelanjakan. Kita nak tahu audit akaun itu ke mana, apabila adanya persatuan perlu ada laporan audit, bagaimana pula kita ingin mengambil alih operasi kalau tidak tahu duit itu pergi ke mana, kalau dah ada saya dah buat dah (peruntukan), saya sudah beri cukup masa, kita perlu ambil tindakan” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Melaka By The Sea Carnival diadakan di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang, Gue Teck; Pengurus Besar BPP Melaka, Zairi Suboh serta tetamu lain.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata kerajaan negeri komited dalam membangukan lokasi pelancongan di Sungai Ramuan China Besar-Paya Lebar dengan mengadakan operasi ‘Melaka Eco-River Cruise’ tidak lama lagi.

Malah ujarnya, aktiviti pelancongan di kawasan itu juga akan dibangunkan menjelang waktu malam malah akan dilengkapi dengan kelipan lampu di sepanjang sungai di sekitar kawasan itu.

“Bagaimanapun, kita akan lihat semula beberapa faktor lain termasuk akses perjalanan keluar masuk, keadaan pasang surut dan juga keselamatan di kawasan ini.

“Mengenai akses jalan ke jeti tersebut kita tidak akan membuat pengambilan tanah orang kampung tetapi kita akan laksanakan perkhidmatan pengangkutan ‘shuttle’ untuk masuk ke kawasan itu.

“Malah, jika ianya dapat dibangunkan kita juga akan promosikan di Melaka River Cruise termasuk penjualan tiket dan jadual operasi perkhidmatan pelancongan di sungai terbabit,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS