74,000 baki meter pintar dipasang bermula hujung bulan ini

74,000 baki meter pintar dipasang bermula hujung bulan ini

Bermula hujung bulan ini...

MELAKA 13 Sept – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan kerja-kerja pemasangan meter pintar atau smart meter bermula hujung bulan ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ir Ahmad Rezahan berkata, pemasangan meter pintar tersebut melibatkan sejumlah 74,000 dari 340,000 meter pintar dipasang di negeri ini.

Menurutnya, bagaimanapun, dia meminta penduduk terlibat memberi kerjasama semasa kerja-kerja tersebut dilaksanakan.

“Makluman ini dibuat supaya mereka tidak terkejut bila wakil TNB datang membuat kerja pemasangan.

“Sebelum ini kami hentikan seketika kerana mahu menyelesaikan isu-isu dan aduan membabitkan meter pintar,” katanya kepada MelakaKini.

Jelas Ahmad Rezahan, pemasangan itu dijangka selesai sepenuhnya Disember tahun ini.

“Buat masa sekarang kita boleh menarik nafas lega kerana segala aduan telah diselesaikan seratus peratus.

“Pengguna mula faham dan tahu bagaimana meter pintar berfungsi dan ia memberikan lebih manfaat kepada mereka,” katanya.

Pihaknya juga menggalakkan masyarakat menggunakan aplikasi myTNB.

“Menerusi aplikasi ini mereka boleh melihat penggunaan dari semasa ke semasa, menyemak bil dan membuat bayaran secara online.

“Dengan kaedah ini ia dapat membantu mereka lebih peka dengan penggunaan eletrik selain mengawalnya,” katanya.

Dalam pada itu, TNB juga sentiasa memberikan komiten terbaik dalam memastikan pelanggan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

“Jika masih keliru, kita akan berikan penerangan dan cuba didik mereka sebaiknya. Seperti sebelum ini, isu timbul kerana bil dikatakan tinggi dari biasa.

“Selepas diterangkan barulah mereka faham mengapa perkara itu terjadi dan kita telah sediakan solusi terbaik. Kita juga gembira kerana respons pengguna terhadap meter pintar semakin positif,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS