61 pelajar ICYM terima Anugerah Dekan

61 pelajar ICYM terima Anugerah Dekan

BUKIT SEBUKOR 26 Nov. – Seramai 61 pelajar International College of Yayasan Melaka (ICYM) menerima Anugerah Dekan.

Ianya berasaskan pencapaian cemerlang akademik pelajar dengan Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 3.5 ke atas.

Penyampaian Anugerah Dekan disempurnakan Ketua Eksekutif ICYM, Datuk Saroni Judi dalam satu majlis di kampus induknya di sini, baru-baru ini

Saroni berkata, penyampaian Anugerah Dekan itu bertujuan sebagai insentif kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan memberi peluang untuk merealisasikan potensi akademik mereka.

“Anugerah ini juga sebagai galakan kepada para pelajar ICYM agar berusaha lebih gigih lagi untuk mencapai kecemerlangan akademik,’’ katanya.

Saroni berkata, ICYM berharap para penerima anugerah dapat menggunakan peluang yang telah diberi dengan sebaik mungkin.

Seterusnya berkongsi pengetahuan yang diperolehi demi kebaikan mereka apabila tamat pengajian kelak.

“ICYM menghargai usaha cemerlang para pelajar dalam peperiksaan seterusnya melahirkan modal insan terbaik dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Dekan, Muhammad Aliff Husni Mohd Hair berkata, anugerah diterima ini menjadi pendorong sehingga dia berjaya mencapai PNGS 3.95 dalam peperiksaan akhir.

Beliau yang mengikuti program Diploma In Aircraft Maintenance Technology berharap dapat mengekalkan kecemerlangan ini agar dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Seorang lagi, Alice Sia Wen Sing yang juga pelajar Diploma Perakaunan teruja apabila dimaklumkan dia terpilih menerima anugerah berkenaan.

Katanya, anugerah ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk terpilih.

Penerima lain, Siti Jamilah Sharif, Diploma Bimbingan Kaunseling dengan PNGS 3.9 berkata, dia bersyukur kerana terpilih dan tidak sangka layak menerima anugerah tersebut.

Seorang lagi pelajar yang mendapat PNGS 3.95, pelajar Diploma In Aircraft Maintenance Technology, Nurul Elmia Faraheen Embok Taha berkata, dia bersyukur apabila dimaklumkan terpilih menerima Anugerah Dekan tahun ini.

“Saya gembira belajar di ICYM dan penganugerahan ini mendorong saya untuk meningkatkan prestasi serta kecemerlangan akademik terutama dalam bidang Aeronautik.

CATEGORIES