Categories: MELAKARENCANA

6 syor pertingkat perkhidmatan perumahan Melaka

ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

KEUPAYAAN sesuatu negeri untuk menyediakan perumahan yang mampu dimiliki dan perkhidmatan perbandaran yang baik adalah kewibawaan utama kepada ciri-ciri kecemerlangan prestasinya.

Walaupun proses pembangunan bandar atau urbanisasi dan pertumbuhan ekonomi akan mewujudkan peluang untuk kualiti kehidupan yang lebih baik, ia juga boleh menjadi sumber kepada meningkatnya jurang status kehidupan penduduk di bandar yang akhirnya boleh menjejaskan kemampanan keseluruhan bandar itu sendiri.

Sebuah kota yang mampan mestilah menyediakan akses berpatutan kepada keperluan asas untuk rakyatnya seperti bekalan air paip, elektrik, kemudahan sanitasi dan perumahan yang mampu dimiliki untuk memastikan semua penduduk mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi melalui kemakmuran bersama.

Malaysia telah mengalami kemajuan ekonomi sejak sedekad Lalu.

Dengan KDNK perkapita RM36,000 (DOSM, 2017), Malaysia kini berada di kategori negara berpendapatan menengah atas.

Melaka mendapat banyak manfaat daripada ekonomi Malaysia yang tinggi prestasinya dan merupakan antara negeri yang mempunyai KDNK yang tinggi perkapitanya dengan kadar pekerjaan dan pendapatan yang kukuh.

Bagaimanapun selain pertumbuhan ekonomi, keupayaan berkongsi manfaat pertumbuhan bagi memenuhi keperluan dan aspirasi warganya juga merupakan komponen penting dalam kemampanan negeri yang perlu sentiasa diukur dan dipantau.

Melaka mempamerkan pembangunan inklusif dan positif sebelum ini dan mulai 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka telah memperkenalkan pelbagai inisiatif perumahan rakyat bagi memenuhi manifestonya.

Antara kemudahan perumahan rakyat yang disediakan termasuklah:
• Rumah Kos Rendah berharga RM42,000.
• Rumah Harapan merupakan rumah mampu milik antara RM80,000 hingga RM100,000.
• Rumah Belia, khusus untuk belia yang hendak membeli rumah pertama mereka di bawah RM180,000.
• Rumah Kos Sederhana (melebihi RM180,000).
• Rumah Berkat yang merupakan rumah untuk pasangan muda dengan sewa bulanan RM150.
• Dan Rumah Peduli (bagi miskin tegar yang memiliki tanah sendiri).

Rumah-rumah ini kemudiannya diklasifikasikan penjenamaannya bagi memudahkan rakyat memilih rumah yang dibangunkan kerajaan negeri mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing.

Kemampuan rakyat memiliki rumah dikenal pasti sebagai antara keutamaan utama bagi Melaka.

Penilaian yang dilakukan oleh oleh Global Platform for Sustainable Cities (GPSC), World Bank 2019 mendapati bahawa pasaran perumahan Melaka adalah berpatutan berbanding pendapatan tempatan dan menyediakan pelbagai pilihan perumahan mampu dimiliki.

Namun risiko dan cabaran perumahan tetap wujud termasuklah peruntukan terhad unit rumah kos rendah, harga harta tanah yang semakin meningkat dan penekanan pemilikan rumah yang memberikan cabaran kepada segmen perumahan sewa.

Terdapat peluang untuk Melaka menangani cabaran dan risiko berkaitan perumahan bagi mencapai kemampanan perumahan jangka panjang.

Beberapa kajian dan cadangan untuk menangani cabaran-cabaran khusus yang dikenal pasti seperti di atas dilakukan pelbagai pihak untuk Melaka.

Antaranya adalah seperti yang dikemukakan pihak GPSC, cadangan yang dikemukakan dalam Rancangan Struktur Negeri Melaka 2035, forum-forum pembangunan negeri dan pandangan lain-lain pemegang taruh Melaka yang boleh disimpulkan seperti di bawah:

1. Meningkatkan akses infrastruktur asas yang meliputi seluruh Melaka.

Mencapai liputan infrastruktur asas yang penuh dengan kerjasama seluruh masyarakat bagi mengenal pasti kawasan dan isi rumah yang memerlukan keperluan tersebut supaya agihan pembangunan boleh dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan seimbang.

2. Meningkatkan kerangka data perumahan Melaka.

Melaka perlu mempertimbangkan untuk membangunkan kerangka data perumahan yang komprehensif dan bersepadu yang boleh ditadbir oleh Lembaga Perumahan Melaka dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain pihak yang berkepentingan.

Rangka kerja data perumahan yang lebih baik akan menambah nilai semasa skim perumahan dan dasar perumahan Melaka.

Dengan teknologi data raya (big data) yang semakin mudah untuk digunakan, rangka kerja data perumahan boleh meliputi data-data perumahan yang disewa, perumahan sedia ada mengikut jenis, saiz, binaan, tahun dan lokasi.

Data daripada projek perumahan yang baru bermula, dalam pembinaan, sedang dirancang pembinaannya serta pelaburan asing dalam pasaran hartanah untuk kediaman tempatan dan luar negara juga adalah penting untuk melengkapkan kerangka ini.

3. Pertimbangan projek perumahan diintegrasikan ke dalam perancangan jangka panjang negeri

Pertimbangan dan fokus ini seperti ini boleh melengkapkan lagi matlamat Pelan Struktur Negeri 2035 (RSN) dan memudahkan usaha bersepadu untuk mengekalkan kemampanan perumahan di Melaka.

Diagnostik yang komprehensif mengenai situasi perumahan semasa di Melaka perlu digabungkan dengan semakan rangka-kerja dasar, pelan tindakan untuk mencapai kemampuan jangka panjang dan proses perancangan guna tanah.

Strategi perumahan komprehensif mestilah dipertimbangkan untuk diwujudkan di Melaka bagi memastikan keperluan perumahan yang mampan dapat diwujudkan.

4. Mempelbagaikan bekalan perumahan.

Strategi kepelbagaian bekalan perumahan perlu dibangunkan di Melaka dengan kerjasama industri tempatan dan pihak-pihak berkepentingan.

Ini adalah bagi memastikan penyediaan kepelbagaian pilihan perumahan kepada rakyat dan strategi ini harus mengambil kira pertimbangan berikut:

• Secara beransur-ansur meningkatkan pembinaan pangsapuri yang boleh memenuhi keperluan jumlah penduduk tempatan dengan sokongan perancangan dan polisi yang sesuai.

• Menggalakkan pembangunan unit perumahan yang lebih kecil termasuk rumah dua bilik tidur, satu bilik tidur dan pangsapuri studio.

Malah boleh juga difikirkan rekabentuk rumah yang modular dan dinamik yang dibina menurut keperluan pasangan yang baru berkahwin yang tidak terlalu mementingkan jumlah bilik sebaliknya menurut keperluan semasa dan boleh di tambah bilik apabila diperlukan pada masa akan datang.

Rekabentuk dan inovasi sebegini boleh mengurangkan kos awal pembinaan rumah.

• Menggalakkan pembangunan semula tanah yang berlebihan daripada satu keluarga tunggal kepada pembangunan tambahan yang boleh memuatkan ahli keluarga yang lain (extended family).

• Menggalak dan menyokong pembangunan perumahan sewa yang berkualiti tinggi yang boleh membantu mengatasi keperluan perumahan.

Ini termasuk memberikan insentif kepada pemaju yang mengintegrasikan rumah sewa seperti ini termasuk ke dalam perancangan projek pembangunan baru mereka.

5. Membina perumahan kos rendah dan mampu milik tambahan melalui perkongsian sektor swasta.

Menyediakan unit-unit perumahan murah dengan perkongsian bersama dengan sektor swasta.
Langkah-langkah di bawah adalah disyorkan untuk menyediakan perumahan kos rendah dan berpatutan dengan kerjasama sektor swasta:

• Memperluas peruntukan mandatori unit rumah kos rendah dan mampu milik kepada kediaman dan pembangunan bercampur dalam sesuatu projek perumahan.

• Memberikan lebih fleksibiliti kepada pihak pemaju dengan mengurangkan birokrasi dan mengkaji semula bayaran-bayaran levi awalan yang dikenakan kepada mereka sebelum memulakan sesuatu projek perumahan.

Pihak kerajaan negeri boleh mengkaji untuk mewujudkan satu pusat sehenti (one-sop centre) atau satu platform yang boleh menggabungkan sekian banyak ‘cost-centre’ yang perlu dihadapi pihak pemaju supaya dengan ini mereka boleh mengurangkan kos pengurusan sebelum memulakan projek perumahan.

Penjimatan daripada kos ini akan diserahkan semula kepada pembeli dalam bentuk harga rumah yang lebih rendah.

6. Meningkatkan daya milik rumah dengan memperbaiki infrastruktur dan pengangkutan awam

Melaka boleh mempertingkatkan keupayaan rakyatnya untuk memiliki rumah dengan mengintegrasikan kemudahan pengangkutan awam dalam perancangan projek perumahan akan datang.

Berdekatan dengan kawasan perumahan tersebut perlu bersama-sama di bina koridor pengangkutan awam, meningkatkan laluan pejalan kaki dan lain-lain penyediaan infrastruktur kemudahan awam seperti pembinaan sekolah, pusat komuniti dan pusat membeli belah.

Membangunkan dasar yang mengiktiraf akses pengangkutan awam dalam jarak berjalan kaki sebagai perkhidmatan bandar yang penting untuk kawasan kediaman adalah perlu supaya kos-kos tersembunyi dalam pemilikan rumah dapat dikurangkan atau dihapuskan terus.

Jika semua ini dapat dilakukan Melaka akan menjadi negeri yang boleh merealisasikan cita-cita slogan: Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau dan Bersih pada masa hadapan.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago