6 syor bangunkan usahawan Melaka

6 syor bangunkan usahawan Melaka

Jangan terpedaya dengan fitnah kononnya kerajaan mengurangkan bajet untuk PKS bumiputera

 

Oleh ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak

DALAM pembentangan Bajet 2020 lalu, Kerajaan Persekutuan menyediakan sejumlah peruntukan agak tinggi kepada pembangunan usahawan khususnya kepada bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Sejumlah RM300 juta diperuntukkan melalui SME Corp bagi menyokong PKS yang berpotensi untuk menjadi jaguh perniagaan serantau.

Keutamaan kepada pengeluar produk halal dengan kandungan tempatan yang tinggi.

Kerajaan Persekutuan juga memperuntuKkan suatu jumlah besar khusus bagi membangunkan usahawan wanita apabila MED melalui SME Bank menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta sebagai subsidi kadar faedah bernilai 2% setahun bagi mengurangkan kos pinjaman.

Manakala melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Berhad pula sejumlah RM170 diperuntukkan bagi membantu pembiayaan perniagaan usahawan bumiputera.

Sejumlah RM75 juta diperuntukkan bagi membina dan meningkatkan lagi pertumbuhan kapasiti usahawan bumiputera berasaskan inovasi dalam pemasaran, pembungkusan, peningkatan celik kewangan melalui SME Corporation.

Sejumlah RM10 juta diperuntukkan untuk bantuan khidmat nasihat, persijilan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pemasaran antarabangsa bagi memantapkan lagi (PKS) dalam industri berkaitan produk halal.

RM10 juta diperuntukakan kepada Malaysian Global Innovation and Creativity Centre(MaGIC) bagi menyokong pertumbuhan perusahaan sosial untuk membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi dalam membina komuniti.

Bagi membina usahawan masyarakat digital pula, sebanyak RM10 juta diperuntukkan.

Dan yang terakhir ialah peruntukan sebanyak RM126 juta kepada usahawan PKS bukan bumiputera dan OKU akan disalurkan melalui TEKUN Nasional dan BSN.

Jika kita jumlahkan keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM775 juta diperuntukkan bagi membantu usahawan PKS bumiputera dalam membangun dan meningkatkan lagi perniagaan mereka.

Selain dari peruntukan atau bantuan kewangan apakah lagi yang telah dan boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membangunkan usahawan di negeri dan negara kita?

Di bawah kita cuba soroti dan huraikan lebih terperinci mengenai hal ini.

MENGGALAKKAN PEMBANGUNAN EKOSISTEM KEUSAHAWANAN

Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Brisbane Australia menyimpulkan bahawa untuk merangsang ekonomi dan menambah peluang pekerjaan maka dunia mestilah menggalakkan berlakunya inovasi dalam bidang keusahawanan dan mewujudkan persaingan supaya masing-masing akan berusaha memberikan terbaik dan kekal relevan.

Strategi bagi menggalakkan keusahawanan seperti ini akan membantu mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan generasi muda.

Peranan pihak kerajaan dalam membantu membangunkan usahawan ini adalah sangat penting kerana menurut satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat oleh Profesor David Birch dari MIT mendapati bahawa peluang pekerjaan yang banyak sebenarnya bukan datang dari syarikat korporat yang besar tetapi sebaliknya datang dari PKS.

Di Melaka sendiri usahawan PKS adalah penyumbang terbesar kepada kekuatan ekonominya kerana lebih 90% kekuatan ekonomi negeri datang daripada usahawan PKS.

Oleh itu usaha kerajaan sekarang yang mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan setelah dimansuhkan pada 2009 adalah satu langkah tepat.

Dengan mewujudkan semula kementerian ini maka aktiviti pembangunan keusahawanan akan dapat diberikan tumpuan yang lebih tinggi dan adalah dicadangkan agar polisi kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kewujudan ekosistem usahawan terutama usahawan PKS sekarang dan akan datang.

CABARAN MEMBANGUNKAN POLISI KEUSAHAWANAN YANG BERKESAN

Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), satu badan yang terkenal keupayaannya dalam merangka polisi di peringkat antarabangsa menyatakan bahawa terdapat dua jenis pendekatan yang biasa digunakan dalam membangunkan polisi berkaitan pembangunan usahawan.

Kaedah pertama iaitu satu kaedah tradisional yang mengutamakan pertambahan jumlah usahawan dengan memperkenalkan program ‘start-ups’, menyediakan bantuan kewangan dan pelaburan daripada pelabur individu atau institusi, menyediakan geran atau dana R&D serta pemindahan teknologi.

Kaedah ini juga merangkumi penyediaan inkubator, geran, insentif cukai dan lain-lain program sokongan berkaitan.

Kaedah ini sebenarnya memerlukan pihak kerajaan memainkan peranan secara langsung dalam pembangunan perniagaan yang hendak dibantu.

Kaedah ini juga memerlukan pihak kerajaan mengeluarkan kos dan risiko lebih tinggi memandangkan usahawan yang dipilih kebanyakannya adalah usahawan baru yang masih belum ada jaminan akan mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka.

Bagaimanapun kaedah ini diperlukan bagi membantu mewujud dan meningkatkan lagi jumlah usahawan terutama usahawan muda.

Contoh jika di Melaka, kerajaan negeri menyediakan tapak perniagaan khas untuk usahawan wanita di Bazar Melaka Kota Fatimah secara percuma untuk tempoh enam bulan.

Kaedah kedua lebih kepada menyokong pertumbuhan dengan fokus kerajaan di berikan kepada membantu usahawan yang telah berjaya dan mempunyai potensi untuk meningkatkan lagi kejayaan perniagaan mereka.

Bantuan di berikan oleh pihak kerajaan untuk mengembangkan lagi jaringan perniagaan mereka di peringkat tempatan, persekutuan atau di peringkat antarabangsa.

Usahawan yang mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka akan diberikan pertolongan untuk dihubungkan dengan bakal pelanggan, pembekal serta lain-lain pihak yang boleh membantu ekosistem perniagaan usahawan itu tadi.

Contoh yang boleh diambil di Melaka berkaitan dengan kaedah ini ialah penubuhan Melaka Halal Hub (MHH).

MHH adalah pusat industri halal pertama di Malaysia yang berperanan sebagai ‘anchor’ untuk memberi tunjuk ajar, latihan dan bimbingan secara Islamic Manufacturing Practise (IMP) serta membantu meningkatkan peluang pemasaran dan pekerjaan kepada usahawan yang bertanggungjawab dari aspek pengeluaran produk mereka.

Pihak kerajaan, sama ada kerajaan negeri atau persekutuan memainkan peranan kritikal bagi menggalakkan pembangunan usahawan dan inovasi dalam perniagaan.

Peranan utama yang boleh dimainkan ialah untuk menggembleng kekuatan jabatan dan agensi kerajaan untuk turut membantu pembangunan usahawan secara bersepadu dan merangka polisi yang baik serta efektif.

Di bawah adalah cadangan utama yang boleh dijadikan polisi oleh pihak kerajaan bagi membantu pembangunan usahawan.

Cadangan-cadangan ini telah dibincangkan di satu Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) berkaitan usahawan dan dihimpunkan intipatinya seperti di bawah.

CADANGAN-CADANGAN UTAMA PEMBANGUNAN POLISI KERAJAAN

Secara ringkasnya enam cadangan utama bagi menggalak dan membangunkan ekosistem keusahawanan ialah:

1. Menjadikan aktiviti pembangunan usahawan sebagai satu keutamaan bagi pihak kerajaan dengan menyediakan polisi sokongan melibatkan pembabitan aktif daripada pihak kepimpinan kerajaan sendiri.

2. Memastikan skop kepada polisi yang hendak dibangunkan itu fokusnya adalah luas, holistik dan tidak tertumpu kepada satu-satu jenis perniagaan atau bidang sahaja.

3. Membenarkan proses pembangunan usahawan itu berkembang secara alami dan bukan pembangunan yang dipaksa dari atas ke bawah (top-down enforcement). Keutamaan diberikan untuk membina dan membangunkan industri sedia ada yang berdaya saing daripada memberikan tumpuan untuk menjana industri baharu yang dilihat telah berjaya di luar.

4. Memastikan bantuan dan sokongan adalah kepada semua sektor industri dan bukan industri tertentu sahaja seperti industri berteknologi tinggi. Galakan pembangunan yang inklusif meliputi semua sektor termasuk industri berteknologi rendah, sederhana dan tinggi.

5. Menyediakan kepimpinan yang berwibawa untuk membantu usahawan tetapi pada masa sama agih-agihkan tanggungjawab kepada semua pihak yang berautoriti. Pastikan ada kerjasama dan sikap bertanggungjawab di peringkat atas dan bawahan supaya masing-masing merasa bahawa usaha ini juga adalah milik mereka (sense of ownership).

6. Membangunkan polisi yang boleh membantu menyelesaikan keperluan usahawan dari sudut pengurusan dan perniagaan. Bina polisi yang menyantuni kedua-dua pihak usahawan PKS dan juga usahawan besar yang berjaya tetapi mencari peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Mudah-mudahan usaha kita untuk sama-sama meningkatkan lagi pembangunan dan kemajuan usahawan di tanah air kita akan berjaya dan hasilnya dapat memberikan manfaat kepada rakyat.

CATEGORIES