6 bulan sewa percuma untuk usahawan wanita

6 bulan sewa percuma untuk usahawan wanita

Perkasakan usahawan wanita kita. Kepada lelaki, jangan jeles, banyak lagi perancangan kerajaan untuk semua.....

AYER KEROH 4 Mei – Pelbagai inisiatif diberikan kepada golongan usahawan khususnya wanita di negeri ini bagi memperkasakan pembangunan sektor terbabit.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan negeri seperti menjenamakan semula kawasan perniagaan Kota Fesyen di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Jelasnya, penjenamaan semula pusat perniagaan itu kepada Kota Tun Fatimah bakal memberi peluang usahawan wanita dalam memasarkan pelbagai produk yang mampu meraih pendapatan.

“Pelbagai inisiatif akan ditumpukan kepada golongan ini dan bagi jangka masa pendek kira-kira dua tahun ini kita akan beri dorongan kepada mereka dalam memajukan perniagaan.

“Malah, kerajaan negeri akan pertimbangkan usahawan ini bagi memberikan sewa percuma untuk tempoh enam bulan pertama.

“Buat masa ini kerajaan negeri sedang merangka strategi bersama Perbadanan Melaka Holdings (PMH) bagi menjadikan kawasan itu dimanfaatkan sebagai pusat jualan khususnya wanita.

“Melalui perancangan itu kita akan merangka Model Perniagaan Baharu di bawah PMH yang menjadi platform dalam merancakkan perniagaan dan menarik ramai pelancong.

“Kita cuba majukan kawasan ini bagi memberi manfaat kepada masyarakat malah perancangan dalam membuka ‘uptown’ serta pelbagai aktiviti lain akan dirancakkan bagi menarik orang ramai khususnya pelancong luar datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas menghadiri program Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, di sini, tengah hari semalam.

Dalam pada itu, ujarnya, usaha dalam memperkasa pembangunan usahawan akan ditumpukan kepada wanita yang mempunyai keinginan tinggi dalam perniagaan.

Menurutnya, pelbagai masalah dihadapi golongan ini sewaktu menjalani perniagaan seperti kekangan dari segi pengangkutan yang merupakan kepentingan dalam operasi itu.

“Ada beberapa usahawan wanita menghadapi kekangan pengangkutan malah ada antara mereka mengadu terpaksa menggunakan perkhidmatan aplikasi ‘GrabCar’ tiap kali ke lokasi perniagaan.

“Perkara ini disebabkan mereka tidak punyai pengangkutan dan terpaksa menghabiskan kira-kira RM40 sehari bagi menggunakan kenderaan untuk mengangkut barangan jualan ke destinasi perniagaan mereka.

“Jadi bagi mengatasi masalah ini kerajaan negeri akan sediakan sebuah pengangkutan yang boleh bawa mereka pulang balik ke tempat berniaga dan rumah.

“Malah, bantuan kewangan juga akan disediakan sebagai inisiatif bagi mereka untuk dapatkan pengangkutan, bagaimanapun ianya bukanlah peruntukkan untuk membeli pengangkutan baharu tapi cukuplah sekadar bersesuaian dengan perniagaan mereka.

“Kita akan utamakan kepada usahawan wanita yang komited dalam perniagaan dan Insya Allah dalam dua minggu nanti masalah pengangkutan ini akan diselesaikan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS