5 mitos Pulau Besar perlu anda tahu!

5 mitos Pulau Besar perlu anda tahu!

Ambil tahu boleh, percaya jangan!

ANTARA mitos di Pulau Besar yang perlu anda tahu:-

Kesemua mitos dibawah merujuk kepada cerita orang tempatan di Pulau Besar yang telah lama mencari rezeki di pulau `keramat’ itu.

Mitos dan lagenda yang disampaikan dari zaman-berzaman mempunyai nilai estetika tersendiri dan yang menilainya adalah diri kita sendiri.

Apa pun jauhi perkara berunsur syirik dan khurafat.

1- Makam Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail

Pulau Besar penuh keramat dan mitos yang menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara khususnya dari keturunan India-Muslim di Malaysia, Singapura, Johor dan Pulau Pinang.

Kaum India-Muslim mempercayai kealiman dan kehebatan Sultan Al Ariffin ini. Mereka akan bernazar pada waktu malam.

Antara nazar yang sering dilakukan di situ kononnya untuk mendapat anak dan maju dalam perniagaan. Ayat azimat menyerupai tulisan Arab selepas mendapat keramat tersebut akan digantung di pintu kedai mamak/India-Muslim ini.

Berdasarkan tinjauan wartawan di sana, kebanyakan mereka yang berkunjung ke pulau itu untuk bernazar, mereka perlu berzikir di tepi makam.

Kononnya, doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT berkat kekeramatan Sultan Ariffin tersebut.


2- Tasik biawak

Sebuah tasik biasa buatan manusia yang terletak di padang golf. Tasik tersebut dipenuhi dengan sejumlah biawak yang luar biasa besarnya.

Biawak-biawak itu dikatakan akan singgah di tasik tersebut untuk memakan ikan-ikan yang ada di dalamnya.

Di dalam tasik biawak itu juga terdapatnya batu yang berbentuk tengkorak manusia.

3- Gua Yunus

Nama gua itu diambil sempena nama orang yang pertama menjumpai dan menjadikan gua tersebut sebagai tempat pertapaan. Sehingga kini gua itu masih lagi digunakan sebagai salah satu tempat untuk bertapa.

Untuk masuk ke dalam gua itu, ahli pertapaan terpaksa menyelam ke dalam air kerana kedudukan pintu gua itu sebenarnya terletak di dalam air.

Dipercayai batu dinding gua tersebut semuanya berwarna putih, namun rupa gua Yunus itu tidaklah diketahui, namun kesaktian pertapaan di gua tersebut terkenal dalam kalangan mereka yang gemar ke Pulau Besar.

4- Makam 7 Beradik

Berdasarkan temubual wartawan bersama peniaga di pulau itu kononnya Makam tujuh beradik yang dimaksudkan ialah tujuh bersaudara seperguruan dan kesemua daripada mereka berasal dari Palembang.

Mereka datang ke Pulau Besar dengan tujuan mengembangkan ilmu persilatan.

Dikatakan mereka mempunyai ramai pengikut dari seluruh nusantara. Tujuh bersaudara itu mempunyai ilmu dunia dan akhirat yang sangat tinggi.

Berdasarkan cerita mitos itu, sepanjang hidup mereka, ramai datang untuk mendapatkan pertolongan daripada mereka.

Kunjungan wartawan MelakaKini ke Makam 7 beradik itu mendapati ia dipenuhi colok dan barangan pemujaan.


5-Keramat Masin Tawar

Sebuah lopak air seakan-akan menyerupai perigi lama yang terletak berhampiran pantai.

Apabila air laut surut, airnya akan menjadi tawar. Dipercayai suatu ketika dahulu, perigi ini digunakan untuk mendapatkan harta karun.

Kononnya, keramat ini dijaga oleh seorang puteri bunian bernama Puteri Nilam.

Airnya dikatakan mempunyai pelbagai azimat tertentu sama ada untuk dijadikan minuman, mandi atau untuk dibuat pelaris.

Dipercayai juga, jika niat tidak baik mereka tidak akan merasai air yang tawar meskipun air laut telah surut.

CATEGORIES