476 graduan Politeknik Melaka terima diploma

476 graduan Politeknik Melaka terima diploma

Tahniah kepada penerima diploma

ALOR GAJAH 8 Ogos – Seramai 476 graduan Politeknik Melaka (PMK) menerima Diploma pada Majlis Konvokesyen PMK ke-18 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE),di sini baru-baru ini.

Pengarah PMK, Charim Ibrahim berkata, pada majlis yang berlangsung itu seramai 18 graduan turut diberikan Anugerah Khas atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pengajian masing-masing.

Katanya, penganugerahan diploma itu kepada graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan), Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Perniagaan Antarabangsa dan Diploma Akauntansi

“Konvokesyen yang dijalankan selama dua hari ini menjadikan graduan keseluruhan yang dilahirkan oleh PMK sejak tahun 2000 sehingga hari ini telah mencecah seramai 8,703.

“Malah, pada majlis itu, dua graduan turut menerima Anugerah Tertinggi terdiri daripada dua kursus berbeza iaitu daripada Diploma Kejuruteraan Awam; Nur Fazlin Izzati Suhaili serta graduan Diploma Perakaunan; Hena A/P Karuppaniah,” katanya.

Hadir sama, Exco Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad; Pengarah Bahagian Koordinasi TVET Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta tetamu lain

Dalam pada itu, beliau berkata PMK komited dalam merealisasikan misinya sebagai gedung ilmu tersohor dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ujarnya, TVET yang berasaskan pendekatan ilmu dan kemahiran itu disepadukan bagi melahirkan modal insan berkualiti dan memenuhi keperluan global.

“Dalam memastikan matlamat melahirkan graduan yang berkualiti, seimbang dan holistik dapat direalisasikan, PMK juga memfokuskan kepada komponen utama merentasi kurikulum iaitu industri dan kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, jalinan komuniti serta inovasi dan juga penyelidikan,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS