40 anak yatim dirai sempena Hari Asyura

40 anak yatim dirai sempena Hari Asyura

Bersedekah kepada anak-anak yatim amalan mulia

SEMABOK 11 Sept. – Sempena Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam setiap tahun, Surau Ar Redhuan Taman Semabok Perdana, di sini menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Meraikan Anak-Anak Yatim, malam tadi.

Program yang masuk tahun keempat itu menampilkan seramai 40 anak yatim yang terdiri daripada qariah surau dan kawasan sekitar.

Menurut Pengerusi Surau Ar Redhuan, Shahdan Md Lani, antara objektif penganjuran majlis itu adalah bagi mengikuti sunnah nabi dengan menyantuni dan bersedekah kepada anak-anak yatim.

Jelasnya, kira-kira 50 individu tampil menghulurkan sumbangan berupa wang ringgit dan barangan pada majlis itu.

“Tujuan utama kita sudah tentulah untuk mengikuti sunnah nabi dengan meraikan anak-anak yatim dan mengusap kepala mereka sempena Hari Asyura pada hari ini.

“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk membantu anak-anak yatim yang datang dari keluarga susah setakat termampu yang mana kita telah panggil qariah surau dan penduduk sekitar untuk tampil memberikan sumbangan.

“Majlis seumpama ini telah kita lakukan sejak 2016 lagi dan ia bukan hanya diadakan pada 10 Muharam, bahkan kami juga menganjurkan majlis sama tiap-tiap kali tiba bulan Ramadan melibatkan anak yatim dan fakir miskin,” ujarnya.

Tambahnya, selain mendapat dan berkongsi ganjaran pahala, pihaknya juga mahu memperkenalkan surau yang siap dibina pada 2014 itu kepada orang ramai.

“Kita mahu memperkenalkan lagi surau taman ini kepada orang luar yang mana dengan cara ini ia mungkin dapat membantu surau jika ada sebarang projek baharu yang boleh membawa kebaikan kepada surau ini.

“Seperti hari ini, ada juga pihak luar yang tampil memberi sumbangan kepada anak-anak yatim ini seperti dari Alumni Sekolah Tinggi Melaka dan Sekolah Tinggi Perempuan Melaka.

“Selain itu, kita turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Surau Ar Redhuan, Abu Husin Ismail turut mengalu-alukan orang ramai khususnya penduduk sekitar Melaka untuk tampil menghulurkan sumbangan dalam setiap program yang bakal mereka anjurkan pada masa akan datang.

“Kita sentiasa menguar-uarkan setiap program yang kami anjurkan. Oleh itu, adalah dialu-alukan kepada penduduk sekitar dan orang-orang luar jika mahu tampil menghulurkan sumbangan dalam apa jua program selepas ini,” katanya.

Dalam majlis sama, Surau Ar Redhuan turut mengadakan majlis berbuka puasa sempena Hari Asyura dan ceramah khas yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Melaka, Hazarudin Baharudin selepas solat Maghrib.

Turut diadakan solat hajat bagi pelajar-pelajar yang sedang dan bakal mengambil peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

 

oleh: MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS