Categories: MELAKARENCANA

4 kaedah rangka sistem pengangkutan bersepadu di Melaka

ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

KAJIAN di peringkat Kerajaan Persekutuan mengenai pengurusan trafik di bandaraya mendapati bahawa pembinaan lebih banyak infrastruktur jalan raya bagi menampung jumlah kenderaan semasa adalah satu kaedah yang tidak lestari terutama untuk tempoh jangka masa panjang.

Apa yang perlu dilakukan adalah membangunkan kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan efisien dan menggalakkan wujudnya pembangunan pengangkutan bersepadu atau dalam istilah lebih tepat disebut sebagai pembangunan berasaskan transit (Transit-Oriented Development – TOD)

TOD adalah sejenis pembangunan bandar yang memaksimumkan jumlah ruang kediaman, perniagaan dan rekreasi dalam jarak hanya dengan berjalan kaki dari kemudahan pengangkutan awam.

Ia menggalakkan hubungan simbiotik antara kepadatan bandar dengan penggunaan pengangkutan awam.
TOD harus menjadi satu piawaian untuk pembangunan di Melaka untuk tahun-tahun mendatang selaras dengan slogannya untuk menjadi sebuah bandar yang Pintar, Hijau dan Bersih.

Bilangan pelancong yang akan berkunjung ke Melaka dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa terutama dengan promosi berterusan seperti Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 ini.

Keadaan ini juga akan menyebabkan meningkatnya pencemaran asap kenderaan, bunyi bising, kesesakan lalu lintas bahkan aspek keselamatan di kawasan bandar juga boleh terjejas jika tiada tindakan proaktif diambil.

Dalam tempoh terdekat ini, jika situasi ini tidak ditangani seberapa segera, ia boleh menjadi antara halangan utama untuk pelancong berkunjung ke Melaka terutama apabila dalam minda mereka tertanam bahawa jika ke Melaka terutama di musim cuti, akan berlaku kesesakan lalu lintas, maka mereka memilih destinasi lain untuk tujuan percutian bagi mengelakkan kesesakan.

Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan negeri merangka strategi bersepadu yang mampu memindah atau melancarkan mobiliti penduduk dan pelancong ke Melaka sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Perkhidmatan Nasihat Bank Dunia (World Bank Advisory Service) dalam satu cadangannya kepada Kerajaan Malaysia mengesyorkan supaya pengangkutan bandar menjadi penyepadu yang menghubungkan antara kawasan bandar dengan pinggir bandar.

Perkhidmatan awam bersepadu ini menjadi asas kepada sebarang perancangan strategik dan pembangunan polisi kepada pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Berasaskan cadangan tadi dan cadangan yang dikemukakan di bengkel-bengkel yang diadakan di bawah portfolio kerja raya, pengangkutan dan kemudahan awam, Kerajaan Melaka mencadangkan langkah-langkah yang menganjak paradigma, cadangan-cadangan bagi memastikan pembangunan kemudahan dan sistem pengangkutan awam yang bersepadu dapat dilaksanakan di Melaka seperti berikut: –

MENGUBAH INDUSTRI PENGANGKUTAN AWAM

Menurut kajian Bank Dunia, pengangkutan awam di Melaka hanya memenuhi sekitar 1% hingga 2% keperluan sebenar dan kemudahan ini tertumpu lebih kepada perkhidmatan bas.

Rakyat Melaka sebenarnya agak terbiasa dengan keadaan ini hingga menyebabkan ramai memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri.

Kajian itu juga menyatakan bahawa secara purata, isi rumah di Melaka mempunyai 1.4 kereta dan 1.9 motosikal, suatu statistik yang menunjukkan bahawa jumlah pemilikan kenderaan peribadi di Melaka adalah agak tinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

Keadaan ini boleh mendatangkan masalah dari segi kesesakan lalulintas pada masa akan datang jika tidak ditangani dari sekarang.

Pengangkutan awam di Melaka perlu diubah menjadi pengangkutan awam yang moden, menggunakan tenaga yang boleh dijana semula (renewable energy), efisien dan berorientasikan pelanggan.

Tumpuan juga perlu diberikan kepada pertumbuhan yang akan membolehkan ia meningkatkan perkhidmatannya dengan cekap.

Ia memerlukan pelan perniagaan yang baik, disokong dengan pelaburan dan penjanaan serta unjuran kewangan untuk 5 hingga 10 tahun akan datang.

MENGINTEGRASIKAN PENGANGKUTAN AWAM

Pengangkutan awam di Melaka memerlukan perancangan strategik menyeluruh.

Perancangan yang akan mengintegrasikan koridor ekonomi serantau yang menghubungkan antara Melaka dengan Kuala Lumpur, Singapura dan pantai timur Indonesia seperti dijelaskan dalam tulisan yang lalu.

Koridor pengangkutan awam yang meliputi perkhidmatan darat, laut, udara dan rel yang seterusnya mampu untuk menjadikan Melaka sebagai satu hab pengangkutan bagi rantau Asia Pasifik Selatan.

Saiz Melaka yang kecil memudahkan untuk menghubungkan semua mode pengangkutan awam ini dan secara langsung boleh memberikan impak dari segi pembangunan ekonomi bagi Melaka secara keseluruhannya.

PEMBANGUNAN PENGANGKUTAN BERASASKAN TOD

Penggunaan tanah yang cekap menerusi strategi pembangunan berorientasikan TOD dengan pengawalan pertumbuhan yang baik akan menggalakkan pembangunan berkepadatan tinggi dan bercampur-campur (mixed development) yang seimbang.

Pendekatan ini amat penting untuk mengurangkan penggunaan kereta persendirian dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Pembangunan berasaskan TOD boleh menyatukan sumber manusia, pekerjaan dan perkhidmatan dengan cara menjadikannya lebih cekap, selamat, mudah, menarik dan meningkatkan akses kepada peluang untuk menyokong agenda pertumbuhan ekonomi Melaka.

MENGGALAKKAN PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM DAN KEMUDAHAN PEJALAN KAKI DAN LALUAN SIKAL

Melaka perlu mula untuk memberikan kesedaran kepada rakyatnya supaya dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian apabila ia telah mula dapat menyediakan kemudahan pengangkutan awam seperti yang disebutkan di atas tadi.

Ia boleh dilakukan dengan memperkenalkan langkah-langkah pengurusan permintaan perjalanan seperti penggunaan perkhidmatan ride-hailing, mengawal dan mengurangkan tempat letak kereta di luar di tempat-tempat yang sesuai serta meningkatkan kemudahan penumpang bas awam.

Selain itu ia juga perlu untuk menambahkan laluan yang mesra untuk pejalan kaki dan laluan sikal yang selamat dengan akses kepada pengangkutan awam dan pembangunan berkaitan.

Pada 2011, Kerajaan Melaka pernah mengarahkan pemimpin-pemimpin negeri termasuk ahli-ahli exco, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan termasuk Ketua Menterinya sendiri untuk berbasikal ke pejabat setiap hari Khamis bagi mempergiat usaha memperkenalkan Melaka sebagai negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Mungkin inisiatif seperti ini juga boleh kembali diamalkan sekarang supaya menjadi contoh kepada rakyat untuk peduli kepada alam sekitar bagi membantu mengurangkan kesesakan trafik dan menyegarkan udara pagi di Melaka.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago