3,766 aduan jenayah hingga Julai 2019

3,766 aduan jenayah hingga Julai 2019

Teknologi dimanfaatkan sebaiknya..

AYER KEROH 8 Ogos – Sebanyak 3,766 aduan direkodkan bermula Januari hingga Julai lalu melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di negeri ini.

Aduan tersebut melibatkan kes mat rempit, kes penipuan, penjualan dadah dan gangguan di tempat awam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, ACP Beh Eng Lai berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima aduan palsu melalui aplikasi itu.

“Tahun lalu saja kita menerima sebanyak 20,000 aduan melalui aplikasi ini.

“Justeru, saya menyerus orang ramai supaya menjadi ahli VSP, sekali gus bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras jenayah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MelakaKini selepas Program Bicara Eksekutif ‘Keselamatan Negara Kemakmuran Bersama’ di Auditorium Seri Negeri, baru-baru ini.

Katanya, orang awam boleh menghantar maklumat secara bergambar atau video menerusi aplikasi itu tanpa membuat aduan ke balai polis.

“Pihak polis akan mengambil tindakan dengan segera jika maklumat itu memerlukan tindakan yang segera.

“Jika maklumat itu memerlukan siasatan lanjut seperti pengedaran dadah dan sebagainya, siasatan akan dijalankan dengan kadar pantas,” katanya.

Tambahnya, pengguna juga boleh memaklumkan pihak polis sekiranya ingin balik ke kampung dengan memberikan tarikh balik kampung dan kembali beserta alamat.

“Pihak polis akan buat rondaan ke rumah-rumah tersebut yang ditinggalkan kosong, jika ada perkara yang tidak kena, kita akan hantar notis kepada penghuni itu,” katanya.

Untuk rekod, VSP merupakan satu inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat tempatan.

Jika dahulu masyarakat melaporkan jenayah melalui talian hotline PDRM dan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) tetapi melalui VSP, masyarakat boleh menyalurkan aduan atau maklumat dilengkapi dengan gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES