3 langkah pembangunan sumber manusia di Melaka

3 langkah pembangunan sumber manusia di Melaka

Melaka berpotensi muncul negeri termaju di Malaysia

oleh ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

BAGI pelancong yang berkunjung ke Melaka pasti akan teruja melihat budaya orang Melaka yang menarik dengan lokasi pelancongan popular yang mempunyai sejarah agung.

Apabila dikenangkan keagungan sejarah Melaka dahulukala, pasti akan terdetik dihati kita mengharapkan agar keagungan itu akan dapat dikembalikan semula.

Apakah faktor-faktor yang berjaya menjadikan Melaka sebuah empayar hebat dan agung suatu masa dahulu?

Analisis sejarah sebelum ini menyenaraikan beberapa perkara asas yang menjadi penyebab kepada keagungan itu iaitu:

Terdapatnya sistem pentadbiran yang sistematik di Melaka, peranan Sultan-sultan dan pembesar-pembesar yang berwibawa, kedudukan geografi yang strategik, kemudahan pelabuhan yang baik, keberkesanan undang-undang dan pungutan cukai yang cekap, Bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa perantaraan antarabangsa (lingua franca), hubungan diplomatik yang baik dengan negara jiran selain Melaka sebagai pusat perkembangan agama Islam dan ilmu pada waktu itu.

Dari banyak-banyak senarai di atas sebenarnya kita boleh simpulkan kepada satu faktor utama sahaja iaitu – Melaka hebat kerana orang Melaka ketika itu adalah hebat atau dalam istilah pengurusan disebut sumber manusianya hebat dan berwibawa.

Faktor geografi dan kemudahan pelabuhannya juga hebat kerana orang yang menguruskannya adalah juga orang hebat dan berwibawa.

Jika tidak, walaupun ia mempunyai kedudukan strategik dengan kemudahan fizikal yang baik, ia bukanlah jaminan untuk ia menjadi sebuah empayar besar dan hebat yang dapat mengatasi kerajaan lain ketika itu.

Ini kerana lokasi yang berdekatan dengan Melaka ketika itu juga wujud kemudahan-kemudahan logistik lain yang juga strategik dengan kemudahan yang baik tetapi ia tidak sehebat Melaka ketika itu.

Contohnya seperti kedudukan kerajaan Siam dan Majapahit yang menjadi pesaing utama Melaka di utara dan di selatan ketika itu.

Majapahit kemudiannya tumbang setelah banyak kawasan jajahannya dikuasai Melaka pada kurun ke-15.

Siam pula menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut gagal.

Begitulah hebatnya ‘sumber manusia’ yang ada di Melaka ketika itu.

Jika kita menelusuri kawasan pelancongan di sekitar Melaka, kita akan segera dapat merasakan bahawa sebenarnya negeri ini bukan sekadar dikurniakan dengan persekitaran yang menarik tetapi ia juga dikurniakan dengan rakyat yang mempunyai kebolehan dan bakat yang pelbagai, dari kesungguhan para usahawannya kepada mereka yang aktif dalam pelbagai bidang kesenian, sejarah dan budaya.

Namun tidak dinafikan juga terdapat perasaan di mana negeri Melaka masih belum dapat membangunkan sepenuhnya potensi sumber manusianya walaupun telah banyak pelaburan dari sudut pendidikan dan kesihatan yang dilakukan, hasilnya masih belum setinggi yang diharapkan dan masih ramai lagi yang ketinggalan.

Oleh kerana Malaysia mahu menjadi negara yang bukan sahaja maju dari sudut pengukuran KDNKnya tetapi juga maju dari sudut pembangunan sumber manusia dan kelestarian alam sekitarnya seperti yang termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, maka memastikan pembangunan sumber manusia yang efektif, maju dan terpelihara adalah sangat penting.

Dengan wujudnya teknologi digital yang bersifat disruptif, cabaran ini menjadi semakin penting kepada kemajuan pembangunan masa hadapan negeri Melaka.

Kebolehan dan keupayaan yang kritikal seperti kemahiran kognitif, keupayaan penyelesaian masalah yang kompleks, kemahiran sosio-tingkah laku, kemahiran menilai dan meningkatkan keberkesanan diri adalah sangat penting ditingkatkan di dalam usaha ini.
Membangunkan kemahiran ini dengan berkesan akan memerlukan transformasi di dalam cara kita membangun dan meningkatkan sumber manusia kita.

Ini adalah kerana pembangunan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesihatan yang dihimpunkan oleh setiap orang di sepanjang hidup mereka – merupakan antara faktor utama di sebalik pertumbuhan ekonomi dan kadar pengurangan kemiskinan di negara-negara maju sejak abad ke-6 lagi, terutama di Barat dan juga Asia Timur.

Pendidikan, kesihatan, dan perlindungan sosial semuanya memainkan peranan yang penting dan saling melengkapi dalam pembangunan modal insan.

Indeks Modal Insan (Human Capital Index) yang baru dibangunkan tahun ini oleh Bank Dunia adalah berdasarkan kepada menjejaki metrik pembangunan sahsiah diri seseorang insan dari kelahiran sehinggalah dewasanya.

Dalam kajian terkini tentang ekonomi Malaysia yang dijalankan Bank Dunia pada Disember 2018 dengan menggunakan kaedah pengukuran Indeks Modal Insan yang tersebut, mendapati bahawa, keseluruhan skor Malaysia hanyalah pada index 0.62.

Index ini menjelaskan bahawa 62% daripada kanak-kanak yang dibesarkan dan dibangunkan di Malaysia akan menjadi produktif jika mereka menjadi dewasa hasil daripada pelaburan kerajaan untuk memberikan pendidikan dan penjagaan kesihatan yang optimum secara keseluruhan kepada rakyatnya.

Secara ringkasnya, jika kerajaan melaburkan sebanyak RM1, pulangan yang diterima ialah sebanyak 62 sen sahaja dan bukan RM1.62.

Menurut kajian itu, secara keseluruhannya, Malaysia berada di tangga ke-55 berbanding dengan 157 buah negara.

Malaysia menunjukkan prestasi baik dalam beberapa komponen pada indeks tersebut tetapi ia masih lemah berbanding beberapa negara lain.

Malaysia mempunyai prestasi baik dalam kelahiran kanak-kanak, jangkaan tahun persekolahan dan keseluruhan keadaan kesihatan.

Namun masih ada ruang dan sudut yang sangat penting untuk ditingkatkan terutama dalam bidang pemakanan kanak-kanak dan hasil pembelajaran.

Jika kita ambil ini sebagai contoh untuk Melaka, maka adalah sangat penting Melaka memfokuskan kepada memperbaiki pendidikan awal kanak-kanak dari sudut kesihatan dan memastikan hasil pembelajaran yang berkesan sebagai sesuatu yang penting di dalam pembangunan modal insan di negeri Melaka di masa yang akan datang.

Melihat ke masa hadapan, bagaimanakah Melaka akan terus dapat meningkatkan potensi modal insannya dan meningkatkan produktiviti ke tahap yang optimum?

Kajian Bank Dunia mengenal pasti tiga langkah utama yang perlu diambil iaitu:

MENINGKATKAN HASIL PEMBELAJARAN

Ini adalah langkah utama untuk menyediakan akses inklusif kepada keseluruhan rakyat dalam aspek penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti tinggi.

Ini bagi memastikan kanak-kanak akan “bersiap sedia untuk bersekolah” sejak dari awal lagi.

Bukti antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti program pendidikan awal kanak-kanak dan prasekolah dikaitkan secara langsung dengan perkembangan kognitif kanak-kanak dan kemahiran bersosial yang lebih baik pada masa hadapan.

PENAMBAHBAIKAN KEPADA SISTEM PENILAIAN

Penambahbaikan kepada sistem penilaian yang berkesan terhadap kualiti hasil pendidikan juga akan dapat membantu usaha ini.

Jemaah Nazir sekolah misalnya boleh memainkan peranan dengan meningkatkan kualiti dan rangka kerja penilaian yang berkesan berasaskan kelas, nasional dan antarabangsa.
Apabila dilaksanakan dengan betul, penilaian berterusan boleh memberikan kesan besar kepada keberkesanan pembelajaran pada masa hadapan.

PENINGKATAN KEPADA NUTRISI PEMAKANAN

Peningkatan hasil nutrisi makanan juga sangat penting dan harus ditingkatkan untuk mengatasi masalah nutrisi kanak-kanak yang boleh menjadi penghalang dalam proses pembangunan mereka pada masa hadapan.

Kajian Bank Dunia terhadap kekurangan nutrisi kanak-kanak di Malaysia mendapati bahawa setiap seorang daripada lima orang kanak-kanak di Malaysia mengalami kekurangan nutrisi. Kadar ini adalah yang lebih tinggi daripada negara-negara lain pada tahap pendapatan yang sama.

Terdapat bukti antarabangsa yang jelas menunjukkan bahawa kekurangan zat makanan pada usia awal kehidupan kanak-kanak dikaitkan dengan akibat negatif yang signifikan untuk kesihatan, kognisi dan produktiviti sepanjang hayat mereka.

Kajian lebih lanjut diperlukan untuk memahami dengan lebih baik mengapa kekurangan nutisi atau pemakanan masih menjadi masalah di Malaysia termasuk di Melaka, negeri-negeri yang lain, di dalam pelbagai etnik dan strata pendapatan.

Melindungi modal insan menerusi program kebajikan sosial adalah penting.

Bukti jelas dari seluruh dunia menunjukkan peranan positif yang dapat dimainkan oleh program perlindungan sosial dengan menyediakan rumahtangga yang mampan dengan sokongan kewangan untuk memerangi kemiskinan bagi pembangunan modal insan.

Meningkatkan dan memperbaiki pembangunan modal insan adalah kritikal bagi membolehkan peralihan negeri Melaka ke negeri berpendapatan tinggi dan maju.

Dengan pembangunan modal insan, negeri dan negara akan dapat meningkatkan produktivitinya untuk memastikan ia tetap berada pada landasan pembangunan yang mampan dan berdaya saing serta tiada rakyat yang tertinggal dalam proses pembangunan ini.

CATEGORIES