2 bom tangan aktif dijumpai di Bukit Beruang

2 bom tangan aktif dijumpai di Bukit Beruang

Makluman awal dua objek dipercayai dua butir bom tangan asap yang kebiasaannya digunakan dalam latihan pasukan polis

BUKIT BERUANG 10 Sept- Polis sedang mengesan pemilik dua butir bom tangan asap yang ditemukan di hadapan halaman sebuah rumah di Taman Bunga Raya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata makluman awal dua objek dipercayai dua butir bom tangan asap yang kebiasaannya digunakan dalam latihan pasukan polis.

Katanya, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah dipanggil ke lokasi selepas menerima aduan daripada pengadu yang menemukan bom tangan terbabit.

Jelasnya, pengadu yang berusia 43 tahun itu dipercayai pemilik rumah berkenaan pada jam 9.40 pagi, dikatakan menemukan objek berkenaan ketika sedang membersihkan rimbunan pokok di hadapan rumahnya.

“Hasil pemeriksaan pasukan UPB mendapati dua objek tersebut merupakan bom tangan fizikal masih lengkap mempunyai pin keselamatan.

“Dan kita mendapati objek tersebut adalah bom tangan asap yang masih aktif, namun pemeriksaan lanjut tidak mengesan sebarang nombor siri atau rekod untuk semakan,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Taman Bunga Raya di sini.

Afzanizar berkata, bom tangan yang dianggarkan seberat 200 gram itu akan dibawa ke IPK untuk dimusnahkan.

Katanya, polis akan membuka Kertas Enquiry Polis (KEP) untuk menyiasat sama ada wujud unsur jenayah atau tidak dalam penemuan bom tangan tersebut.

“Kita akan menyiasat siapa pemilik bom terbabit dan sekiranya kita dapati wujud kesalahan jenayah, KEP tadi akan diklasifikasikan semula menjadi Kertas Siasatan (KS) dan siasatan akan diteruskan mengikut seksyen kesalahan jenayah yang berlaku.

“Namun penduduk tidak perlu gusar dan keadaan adalah stabil,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS