19 pelajar politeknik Indonesia pelajari kepakaran IBS tempatan

19 pelajar politeknik Indonesia pelajari kepakaran IBS tempatan

Bukti sektor binaan Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa

MALIM 10 Sept – Seramai 19 pelajar dari tiga politeknik Indonesia berpeluang mempelajari kepakaran ‘Industrialize Building System’ Modular tempatan melalui dua program pertukaran pelajar di Politeknik Melaka (PMK) di sini.

Pengarah PMK Charim Ibrahim berkata, sembilan pelajar, masing-masing tiga dari Politeknik Negeri Bali, Politeknik Negeri Jakarta dan Politeknik Negeri Sriwijaya telah menyertai Program Pertukaran Pelajar TVET Asia Tenggara Kelompok Keempat di PMK mulai 17 Ogos lalu hingga 14 September ini.

Menurutnya, PMK juga menerima 10 pelajar dari Politeknik Negeri Sriwijaya, Palembang yang menjalani Program Latihan Industri dalam tempoh sama (17 Ogos hingga 14 September).

“Kesemua 19 pelajar telah ditempatkan di Sanc Group di Jalan Tun Perak di sini, yang merupakan syarikat rakan industri PMK.

“Sanc Group turut membiayai penginapan pelajar berkenaan sepanjang tempoh latihan industri mereka di sini,” katanya pada majlis perasmian penutup kedua-dua program pertukaran pelajar berkenaan di PMK di sini baru-baru ini.

Majlis penutup dilakukan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Sanc Group Joji Yang dan Timbalan Pengarah PMK, Mohd Ariffin Aman.

Charim berkata, penglibatan pelajar dari tiga politeknik Indonesia itu menunjukkan kepercayaan institusi antarabangsa terhadap kemahiran dan kepakaran yang dikongsikan melalui aktiviti PMK dan Sanc Group.

Menurutnya, kolaborasi dan hubungan baik antara PMK dan Sanc Group juga telah membolehkan kedua-dua program pertukaran pelajar itu dilaksanakan.

Pelajar Politeknik Negeri Bali, Julianto Putu Oka Saputra berkata, teknologi binaan rumah IBS Modular yang dipelajari di sini adalah sesuatu yang baru dan berbeza.

Ini kerana ujarnya, sektor pembinaan di Indonesia masih lagi menggunakan kaedah konvensional.

“IBS ini sangat bagus jika ia dapat diaplikasikan di Bali,” katanya.

Kelvin Nowan Rasachi, pelajar di Politeknik Negeri Jakarta turut senada dengan Julianto bahawa aktiviti pembinaan di Indonesia masih lagi menggunakan kaedah konvensional.

“Banyak pengalaman baru yang dapat dipelajari sepanjang saya ditempatkan di sini,” katanya.

Sementara itu, Reissa Dwi Ananda dari Politeknik Negeri Sriwijaya menyifatkan teknologi binaan IBS yang dipelajari sebagai sesuatu yang sangat inovatif.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS