18 insentif gembirakan rakyat Melaka

18 insentif gembirakan rakyat Melaka

Alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak putus-putus mencari jalan untuk mensejahterakan rakyat

BELANJAWAN 2020 Negeri Melaka yang baharu saja diumumkan menerusi Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 pasti menggembirakan pelbagai pihak. Sama ada agensi, jabatan, sektor swasta mahupun rakyat, masing-masing mendapat imbuhan tersendiri. Ia turut menggambarkan usaha kerajaan negeri membela nasib rakyat menerusi pelbagai projek dibangunkan demi keselesaan mereka. MelakaKini senaraikan 18 intensif terbaik dibentangkan kali ini.

 

1. BONUS

Penjawat awam di negeri ini bakal menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 dan mula dibayar pada Disember ini. Sudah tentu berita ini paling dinantikan dan menggembirakan mereka.

 

2. KAD PEDULI KESIHATAN

Kad ini membolehkan keluarga daripada kumpulan B40 mendapatkan rawatan asas di klinik swasta berdaftar dengan had RM50 setiap kali rawatan dan had maksimun untuk setahun adalah RM300. Usaha ini sudah tentu meringankan beban golongan tersebut bila nak ke klinik swasta.

 

3. WIFI

Selepas ini 310 lokasi melibatkan pejabat kerajaan, pejabat Japerun dan pejabat Exco akan dilengkapi kemudahan wifi percuma tanpa had. Malah dataran MBMB, Taman Bunga Merdeka, Alor Gajah Sentral, Dataran Keris dan Dewan Perbandaran Alor Gajah juga turut dilengkapi akses wifi ini selain Medan Selera Ayer Keroh dan Tandas Awam Kota Tun Fatimah.

 

4. BANTUAN RM1K (KUIM)

Berita gembira untuk anak-anak Melaka yang menyambung pelajaran di KUIM. Ini kerana kerajaan negeri akan memberikan bantuan berjumlah RM1,000 bagi setiap anak Melaka yang baharu mendaftar di KUIM.

 

5. PERPUSTAKAAN DIGITAL

Sebuah Perpustakaan Digital berteraskan elemen pintar akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri dilengkapi dengan kemudahan fiber optik, pangkalan data atas talian, perkhidmatan bacaan dan permainan interaktif, perkhidmatan e-book dan ruang diskusi yang lebih kondusif dengan reka bentuk moden seleras dengan perubahan teknologi maklumat.

 

6. BANTUAN SUSU FORMULA

Bantuan susu formula kepada pesakit terlantar, pesakit Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas telah disalurkan oleh kerajaan negeri kepada penerima yang layak. Sehingga kini seramai 361 orang penerima telah mendapat manfaatnya.

 

7. LAMPU ISYARAT PINTAR

Usaha ini sekali gus mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Melaka. Pihak JKR khususnya berhasrat memperluaskan pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar di semua persimpangan utama seperti di Lebuh AMJ (20 persimpangan), Lebuh SPA (10 persimpangan), Lebuh Raya Ayer Keroh (10 persimpangan), Jalan di kawasan Bukit Katil (6 persimpangan) dan jalan di kawasan Batu Berendam (7 persimpangan).

 

8. BANTUAN TVET (RM400)

Sejumlah RM12.47 juta dari tahun 2016 hingga 2019 diperuntukkan melalui program peningkatan kapasiti dan kemampuan kumpulan khusus. Program ini telah memberi manfaat kepada 1,117 pelatih terdiri daripada golongan B40. Menariknya, pelajar peringkat sijil kemahiran diberi elaun sara hidup berjumlah RM400 sebulan manakala yuran pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

 

9. PEMANTAPAN PROMOSI PELANCONGAN

Pelbagai inisiatif ditawarkan menerusi aspek ini yang antaranya kerajaan negeri menawarkan kupon diskaun sekurangnya 20 peratus di 28 lokasi tarikan pelancong. Melaka Tourist Passport turut diperkenalkan bagi menarik pelancong ke negeri ini.

 

10. MELAKA INTERNATIONAL CRUISE TERMINAL (MICT)

Projek ini telah dikenal pasti sebagai salah satu projek nasional yang terdiri daripada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta jeti kapal persiaran. Terminal ini dijangka mampu menerima kapal persiaran terbesar di dunia.

 

11. PEMASANGAN CCTV

Sebanyak 107 unit Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi tumpuan ramai telah dipasang dan ia akan ditambah lagi 50 unit pada tahun 2020 terutama di kawasan pusat bandar bagi keselamatan rakyat dan pengunjung luar.

 

12. ANUGERAH PELANCONGAN & PBT

Anugerah diterima di peringkat pelancongan membuktikan tahap perkhidmatan sektor pelancongan dan pengurusan PBT di negeri ini cemerlang. Pengiktirafan ini penting dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan kedua-dua bidang tersebut.

 

13. RM1 JUTA RANGSANG EKONOMI TEMPATAN

Usaha memperkasa ekonomi penduduk tempatan khususnya golongan B40 dan M40 ditingkatkan dengan pembinaan dan naik taraf pusat perniagaan di kawasan terpilih. Tujuan tersebut diperkuatkan dengan peruntukan berjumlah RM1 juta untuk melaksanakannya.

 

14. SULING AIR PULAU BESAR

Air laut di Pulau Besar disuling dan dijadikan sumber air terawat bagi menampung kapasiti pengguna air di negeri ini. Ia sebagai salah satu sumber bagi memastikan bekalan air mencukupi pada masa depan.

 

15. PRODUK PINTAR

Pelbagai produk pintar akan diperkenalkan menjelang tahun hadapan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Antaranya adalah Melaka Smart River Monitoring System, Groundwater Supply Smart System, Melaka Smart Market Apps, Rooftop Solar, Pusat Riadah Pintar Melaka dan Melaka Smart E-Hailing.

 

16. NAIK TARAF JALAN RAYA

Sejumlah RM55.96 juta diperuntukkan bagi menaik taraf jalan raya di negeri ini. Antara jalan terlibat termasuk di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin. Usaha ini antara inisiatif dibangunkan demi keselesaan rakyat.

 

17. HUB NUSANTARA

Projek perintis ini akan dilaksanakan di Masjid Kampung Hulu yang menggabungkan konsep pembangunan penginapan, pendidikan, perniagaan dan dakwah di bawah satu bumbung dengan menaik taraf hartanah wakaf sedia ada.

 

18. PEMBANGUNAN BELIA

Penekanan terhadap golongan ini turut diberikan fokus. Selain mewujudkan peluang kerjaya, kerajaan negeri turut membuka pelbagai ruang kepada belia menerusi Rangkaian Usahawan Muda, Program Keusahawanan Belia Bestari dan Program Y-Career.

CATEGORIES
TAGS