175 aduan penduduk DUN Machap Jaya selesai

175 aduan penduduk DUN Machap Jaya selesai

HBR formula terbaik dekatkan pemimpin dan masyarakat

MACHAP 8 Nov. – Sebanyak 175 daripada 273 aduan dan permohonan penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya berjaya diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, kebanyakan permohonan membabitkan bantuan daripada agensi-agensi tertentu.

Daripada jumlah itu juga, sebanyak 33 aduan dan permohonan lagi masih dalam fasa perhatian.

“Ikrar kami ialah untuk terus menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti serta pada masa sama tidak melupakan segala masalah membabitkan rakyat.

“Justeru, kita berharap agar penduduk di Machap Jaya tidak malu atau segan untuk tampil meluahkan segala permasalahan yang dialami mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ginie memberitahu, Machap Jaya menjadi DUN pertama di negeri ini menganjurkan Hari Bertemu Rakyat (HBR) secara bergerak di setiap pelosok kampung.

Jelas beliau, pihaknya mahu menampilkan kelainan dalam penganjuran HBR yang selama ini hanya tertumpu di satu kawasan sahaja.

Sejak Ogos lalu, pihaknya merangka strategi baharu dengan mengadakan program itu secara bergerak pada setiap Khamis.

“HBR bergerak ini bermula 8 Ogos lalu hingga sekarang, kami telah menjelajah kesemua 11 kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung/Kampung Baru (MPKK/MPKB) di bawah DUN Machap Jaya.

“Jelajah HBR diadakan di sesuatu kawasan mengikut giliran yang mana kami bermula di MPKK/MPKKB Ayer Pasir dan seterusnya bergerak ke Bukit Bulat, Hutan Percha, Kemuning, Kuala Sungga, Lesong Batu, Machap Baru, Machap Umboo, Melaka Pindah, Menggong dan yang terakhir ialah kawasan Tebong.

“Daripada jelajah ini, kami dapati program bergerak ini lebih mesra rakyat dan rata-rata penduduk menzahirkan rasa gembira kerana dapat mengajukan permasalahan dan aduan secara terus kepada wakil rakyat kawasan ini,” katanya.

Untuk rekod, HBR merupakan salah satu inisiatif Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam mendekatkan hubungan di antara pemimpin dengan masyarakat selain menjadi pemudahcara bagi masyarakat bertemu sendiri dengan wakil rakyat kawasan masing-masing.

Sejak dimulakan tahun lalu, HBR mendapat respon amay positif dalam kalangan rakyat negeri ini.

CATEGORIES