17 matlamat pembangunan lestari perlu dicapai Melaka

17 matlamat pembangunan lestari perlu dicapai Melaka

Melaka mempunyai asas kukuh untuk capai pembangunan lestari

MATLAMAT pembangunan lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) meliputi pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dengan penggunaan sumber yang bijaksana dan memastikan pemuliharaan terhadap alam sekitar dilaksanakan dalam skala besar untuk melihat hasilnya.

Artikel ini akan menjelaskan secara ringkas mengenai 17 matlamat pembangunan lestari yang boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka.

KEMISKINAN TEGAR & KELAPARAN SIFAR (SDG 1 & 2)

Menurut laporan Pembangunan Lestari Kerajaan Malaysia pada 2018, secara umumnya usaha menghapuskan kemiskinan tegar yang telah dapat dicapai oleh kerajaan pada kadar 49.3% (1970) dan berkurangan kepada 0.6% (2014).

Kelaparan sifar dan kekurangan zat makanan pula berkurangan sebanyak 90% dari 1990 hingga 2014.

Malaysia adalah antara 15 negara di dunia yang berjaya mencapai peratusan yang tinggi ini.

kkerajaan negeri boleh terus memantau keadaan ekonomi rakyatnya yang berada di tahap miskin tegar supaya boleh dilonjakkan kepada tahap lebih tinggi dan memastikan jaminan bekalan makanan dengan memperbaiki rantaiannya dan meningkatkan aktiviti pertanian bernilai tinggi untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.

KESIHATAN & KESEJAHTERAAN (SDG 3)

Kerajaan negeri boleh meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya dengan meningkatkan akses kemudahan kesihatan terutama kepada golangan B40.

Kerajaan tempatan boleh merancang pengangkutan awam ke arah mengurangkan pencemaran udara dengan penggunaan kenderaan mesra alam sekitar, memupuk gaya hidup sihat dan meningkatkan kempen keselamatan alam sekitar.

Menurut laporan tersebut, kadar subsidi kesihatan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat secara umumnya sekarang ini telah mencecah kepada 95%.

Namun usaha-usaha perlu diteruskan untuk memastikan kadar kelahiran dan kematian bayi, kadar pengawalan penyakit berjangkit dan kadar pengawalan HIV/AIDS di negara ini adalah yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan generasi akan datang.

PENDIDIKAN & KESAKSAMAAN GENDER (SDG 4 & 5)

Memastikan rakyat mendapat pendidikan asas dari peringkat rendah hingga menengah adalah menjadi tanggungjawab kerajaan.

Pendidikan agama juga perlu ditekankan supaya pendekatan lebih holistik akan dapat dilakukan dalam membangunkan masyarakat.

Memastikan pendidikan berterusan berkualiti, saksama dan inklusif bagi mencapai kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita dan kanak-kanak perempuan adalah antara tumpuan yang perlu diberikan selaras dengan tumpuan SDG 4 & 5.

Dari segi peratusan, lebih dari 90% pelajar lelaki dan perempuan mendapat pendidikan di peringkat rendah dan menengah manakala peringkat tinggi pula adalah sekitar 50% pada 2018.

Usaha seterusnya perlu dilakukan bagi memastikan tiada dalam kalangan rakyat yang tercicir daripada pendidikan asas dan tahap pendidikan tinggi pula dapat ditingkatkan peratusannya.

KEPERLUAN ASAS (SDG 6 & 7)

Keperluan asas yang dimaksudkan di sini adalah tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan air, kemudahan sanitasi dan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki.

Kadar bekalan air di seluruh negara kini mencecah 95% namun pihak kerajaan negeri boleh berperanan untuk meningkatkan kualiti air melalui langkah-langkah perlindungan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal yang mampan, kedua-dua ini adalah isu yang agak kritikal di Melaka.

Manakala dalam urusan akses kepada tenaga, kerajaan tempatan dan Tenaga Nasional Bernad (TNB) perlu menekankan kepentingan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) dalam kalangan warganya kerana ia boleh memberi impak yang besar kepada kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon kepada alam sekitar.

INFRASTRUKTUR (SDG 9 & 11)

Infrastruktur merujuk kepada pembinaan infrastruktur berdaya tahan, mampan dan inovatif.

Kerajaan negeri, PBT dan agensi berkaitan perlu memastikan penyenggaraan kepada kemudahan infrastruktur adalah berterusan dan mengenal pasti jurang akses kepada internet dapat dipertingkatkan.

Matlamat ini selaras dengan pembangunan yang memberi penekanan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat, kesamarataan pembangunan dan pengekalan alam sekitar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan sejahtera.

KEAMANAN, KEADILAN DAN INSTITUSI BERWIBAWA (SDG 16)

Matlamat ini menekan kepentingan meningkatkan integriti masyarakat, menangani rasuah dan meningkatkan akses awam kepada maklumat.

Pada 2017, Malaysia berada di ranking ke-55 Indeks Persepsi Rasuah daripada 176 negara.

Di jangka ranking ini akan menurun dengan keseriusan kerajaan sekarang memerangi rasuah.

Pada masa akan datang pihak kerajaan negeri perlu menjadikan negeri ini sebuah negeri yang bebas rasuah.

Sebuah kerajaan bebas rasuah akan membolehkan perniagaan berdaya saing dengan lebih adil dan meningkatkan pelaburan.

PENGGUNAAN, PENGELUARAN MAMPAN DAN PERUBAHAN CUACA (SDG 12 & 13)

Aktiviti kitar semula, sifar sisa, pengurusan sisa yang efektif dan mampan mestilah menjadi amalan yang wajib dilakukan bagi memastikan pembangunan lestari pada waktu ini dan pada masa akan datang.

Aktiviti-aktiviti seperti ini jika boleh diamalkan secara berterusan akan membantu mengurang atau menghapuskan pelepasan karbon dioksida ke alam sekitar.

PEKERJAAN DAN PEMBANGUNAN EKONOMI (SDG 8)

Kerajaan negeri boleh memainkan peranan utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan melalui strategi pembangunan ekonomi tempatan dengan memanfaatkan sumber dan peluang sedia ada di samping meneroka peluang perniagaan dan pelaburan dari luar negara.

Manakala PBT boleh memastikan keselamatan pekerjaan dan persekitarannya agar dapat dipatuhi.

Agensi-agensi kerajaan negeri pula boleh mengenal pasti potensi pelancongan dalam ruang masing-masing yang sesuai untuk dimajukan sebagai salah satu sumber pendapatan baharu kepada negeri pada masa akan datang.

KETIDAKSAMAAN PENDAPATAN (SDG 10)

Matlamat ini menekankan supaya kerajaan secara progresif perlu berusaha meningkatkan pendapatan rakyat B40 khususnya ke tahap melebihi daripada pendapatan purata di peringkat kebangsaan tanpa mengira umur, jantina, bangsa, agama atau lain-lain status.

Bagi memastikan matlamat ini tercapai maka sebarang undang-undang, polisi dan lain-lain amalan yang bercanggah dengan matlamat ini perlu dihapuskan bagi memastikan keadilan kepada semua pada waktu ini dan pada masa akan datang.

MEMELIHARA DAN MEMULIHARA KAWASAN LAUTAN DAN DARATAN (SDG 14 & 15)

Memelihara dan memulihara kawasan pantai serta sumber marin adalah matlamat utama bagi pembangunan lestari.

Ini kerana hampir 80% daripada pencemaran di lautan berasal dari aktiviti gunatanah sama ada di kawasan tepi pantai mahupun pedalaman.

Manakala memelihara dan memulihara ekosistem di daratan serta menghentikan kemusnahan tanah dan kepelbagaian biodiversiti juga perlu berjalan seiring dengan kawasan laut bagi menjamin kelestarian kedua-dua kawasan ini.

Aktiviti gunatanah di bandar dalam kawasan lembangan sungai yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlaku banjir, berlakunya pengaliran kotoran atau sisa industri ke dalam sungai dan seterusnya menjejaskan lautan.

KERJASAMA BAGI MENCAPAI MATLAMAT (SDG 17)

Bagi mencapai semua matlamat di atas, inisiatif pembangunan lestari ini perlu diperkuatkan dengan menghidupkan kerjasama di peringkat global.

Kerjasama global ini juga boleh memastikan pembangunan lestari akan dapat dicapai antara negara maju, negara membangun dan negara yang mundur untuk kepentingan bersama.

 

Oleh: Zaipul Anwar Zaipu
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS