16 pengawas SMKDARY sertai Khidmat Sosial Pelajar PT3

16 pengawas SMKDARY sertai Khidmat Sosial Pelajar PT3

Persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan

MERLIMAU 8 Nov – Program Khidmat Sosial Pelajar PT3 membabitkan 16 pengawas Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya’akub (SMKDARY) ke Perpustakaan Awam Cawangan Merlimau baru-baru ini, memberi manfaat kepada peserta dalam mendalami asas pengurusan perpustakaan.

Guru Perpustakaan dan Media SMKDARY, Haszailisah Md Hashim berkata, menerusi program tersebut, ia dapat memberi banyak pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar bagaimana untuk menjadi pustakawan terbaik di sekolah.

Menurut Haszailisah, ini dapat dilihat menerusi Bengkel Literasi Maklumat dan Media yang disediakan Perpustakaan Cawangan Merlimau yang memberi penekanan khusus kepada Pengawas Pusat Sumber dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pengantara dengan pengguna.

“Menerusi Program Khidmat Sosial Pelajar PT3 ini, ia telah dapat memberi banyak faedah kepada pelajar bagaimana untuk menjadi pustakawan yang baik dengan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna.

“Selain mempelajari ilmu menguruskan perpustakaan seperti merekod, mengkelas, menyusun dan mencari bahan bacaan, pelajar juga turut berpeluang mengikuti perkongsian ilmu yang disediakan perpustakaan ini dalam melaksanakan tanaman fertigasi cili,” katanya.

Haszailisah berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Perpustakaan Cawangan Merlimau yang bersedia menjalinkan kerjasama khususnya dalam memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pengawas pusat sumber sekolah itu pada masa hadapan.

Pada program itu, beberapa aktiviti diadakan termasuk Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit/Let’s Read Together For 10 Minutes, menggunakan bilik Virtual Reality (VR), bengkel asas literasi maklumat dan penyusunan buku menggunakan sistem DDC.

 

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

CATEGORIES