1,500 terima manfaat bantuan di Parlimen Hang Tuah Jaya

1,500 terima manfaat bantuan di Parlimen Hang Tuah Jaya

Alhamdulillah dan terima kasih kerajaan

BACHANG 17 Sept. – Pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan kurang upaya dan tidak berkemampuan dilaksanakan dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya (HTJ) sepanjang tahun ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, menerusi program-program kebajikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen HangTuah Jaya, kira-kira 1,500 penerima diberikan bantuan sejak Januari lalu.

“Antaranya bantuan bulanan, Jejak Fakir yang diberikan agihan barang bantuan seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan bihun membabitkan 1,170 penerima sekitar Parlimen Hang Tuah Jaya sejak Mac.

“Kita juga memberikan bantuan lampin pakai buang dewasa kepada 115 penerima setiap bulan sejak Februari dan bantuan dressing kit dan beg usus kepada tiga penerima setiap bulan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Melakakini selepas menyampaikan empat katil hospital di sekitar Parlimen terbabit baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Staf Parlimen HTJ, Zaki Yamani, Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ramli Sahat dan pegawai kebajikan Parlimen terbabit, Eliza Asuan Kailani.

Menurut Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama, bantuan peralatan seperti 40 kerusi roda pelbagai spesifikasi telah diedarkan kepada penerima.

Selain itu, katanya, empat katil hospital telah diedarkan dan enam lagi akan diedarkan dalam tempoh terdekat.

“Jumlah bantuan wang tunai kecemasan juga telah diagihkan sejak Januari dan akan terus diagihkan lagi kepada penerima,” jelasnya.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES