14 unit RMM di Batu Berendam bakal dibina

14 unit RMM di Batu Berendam bakal dibina

Rumah selesa dan mampu milik..

AYER KEROH 9 Okt – Sebanyak 14 unit Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibangunkan dalam membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah di Batu Berendam sebagai usaha memenuhi hasrat kerajaan negeri.

RMM yang dibina di atas kawasan 0.368 hektar di Batu Berendam itu, bakal mempunyai 10 unit rumah teres setingkat berkeluasan 20 x 65 kaki persegi dengan harga RM180,000 serta empat unit rumah jenis sama yang terletak di lot hujung dan lot tanah besar berharga RM200,000.

Majlis menandatangani perjanjian usahasama (MoU) antara kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bersama pemaju, Delta Diversified Sdn Bhd diadakan di Seri Negeri, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari serta Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Mohd Dom bersama Pengarah syarikat pemaju, Tee Kai Loon dan Firdaus Faridza Abdul Samat.

Jelas Adly, pelaksanaan projek berkenaan memberi peluang kepada masyarakat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa dan mampu milik.

Katanya, perkara tersebut tidak termasuk RMM yang dalam perancangan untuk dibangunkan di beberapa lagi kawasan strategik di negeri ini.

“Sehingga kini, LPM sudah menyiapkan sebanyak 3,754 unit RMM, 16,599 lagi masih dalam pembinaan dan 17,872 unit sedang dirancang untuk dibangunkan.

“Saya yakin usaha itu akan menjadikan Melaka kekal sebagai sebuah negeri yang menyediakan rumah paling mampu dimiliki,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS