10 sebab Kerajaan Melaka perlukan teknologi Data Raya

10 sebab Kerajaan Melaka perlukan teknologi Data Raya

Banyak faedah rupa-rupanya teknologi Data Raya ni....

BIASA dengar istilah teknologi Data Raya?

Teknologi Data Raya masih dianggap baru di negara ini dan mempunyai potensi yang sangat luas dalam pelbagai sektor.

Sumber kepada Data Raya ini boleh datang dari pelbagai medium, contohnya: media sosial seperti Facebook dan Twitter, laman internet dari seluruh dunia, data jualan secara online dan juga data saintifik seperti data GIS, data meteorologi dan data penyelidikan DNA.

Kuasa pemerosesan komputer diperlukan untuk memahami dan melihat corak yang ada dalam data-data tersebut untuk membantu kita membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Kaedah ini disebut sebagai Analisa Data Raya (Big Data Analysis) yang dilakukan contohnya oleh seorang atau sekumpulan saintis data (data scientist).

Penggunaan Data Raya membolehkan kita mengenal pasti corak, trend dan korelasi kepada data terkumpul yang kemudiannya boleh dimanipulasi untuk membantu kita mendapatkan jawapan kepada permasalahan yang kita hadapi dan seterusnya membuat keputusan untuk menyelesaikannya.

Apakah yang menyebabkan begitu ramai memperkatakan tentang data raya ini?

Kerajaan Malaysia telah menetapkan Data Raya sebagai salah satu daripada pemboleh (enabler) kepada pelan strategi yang hendak dilaksanakan yang dikenali sebagai Kemakmuran Bersama.

Apakah pula potensi kegunaan Data Raya kepada pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan?

Berikut 10 contoh kebaikan teknologi Data Raya dalam konteks perkhidmatan kerajaan, sama ada persekutuan, negeri atau kerajaan tempatan:-

1. MENGENAL PASTI MASALAH DAN MENINGKATKAN KEBERKESANAN PERKHIDMATAN.

Dengan menggunakan Data Raya, organisasi boleh mengenal pasti di mana punca masalah dalam perkhidmatan yang mereka laksanakan berdasarkan kepada data terkumpul dan penganalisaan yang dilakukan.

Contoh paling mudah ialah dengan mengumpulkan maklum balas daripada pelbagai platform media sosial yang dirangkum dalam satu aplikasi Data Raya yang dipanggil Analisa Sentimen (Sentiment Analysis).

Dengan aplikasi seperti ini, agensi kerajaan, seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memantau kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan mereka dengan mudah, semudah memantau dashboard sebuah kenderaan di mana semua maklum balas dipaparkan dalam satu antara muka (interface) sahaja.

Mereka tidak perlu membuka setiap halaman media sosial dan cuba mengenal pasti setiap ‘posting’, komen, ‘like’, ‘share’ dan juga siapakah ‘influencer’ yang ‘menghasut’ pengguna media sosial yang lain contohnya.

Kesemuanya digabungkan dalam satu antara muka yang memudahkan pihak agensi membuat analisa.

2. KEUPAYAAN MEMBUAT KEPUTUSAN YANG LEBIH BAIK DAN PANTAS

Dengan mengenal pasti trend dan lain-lain kebijakan yang terkunci dalam Data Raya, agensi kerajaan berupaya membuat keputusan lebih baik dan pantas seperti yang tersebut di atas.

Ini kerana data atau maklum balas itu dapat dikenal pasti secara ‘real time’ dan boleh mengelakkan pihak kerajaan daripada membuat keputusan berdasarkan agak-agakan atau ramalan kosong yang tidak berasaskan fakta.

3. MENAMBAHBAIK HASIL OPERASI ATAU AKTIVITI

Data Raya membolehkan organisasi melakukan simulasi terhadap senario kepada operasi atau aktiviti yang hendak dijalankan dan meramalkan hasilnya melalui analisa daripada data yang dikumpul.

Sebagai contoh, PBT atau pihak polis mengakses data kemasukan kenderaan ke Melaka melalui tiga pintu masuk lebuhraya utama negeri seperti dari Tol Air Keroh, Simpang Empat dan Jasin.

Data kemasukan kenderaan ini kemudiannya dianalisa dengan secara ‘real time’ dan dihubungkan dengan sistem maklumat lalu lintas di Melaka bagi membantu pengawalan lalu lintas yang masuk ke Banda Hilir contohnya dan mengaktifkan pengawalan lampu isyarat ke semua jalan masuk utama ke kawasan tersebut.

Dengan maklumat sebegini, PBT atau pihak polis mampu untuk melakukan analisa bagi membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang semakin bertambah ke Melaka terutama pada musim cuti umum dan hujung minggu.

4. MENYAHKAN PEMBAZIRAN

Dengan keupayaan sistem Data Raya untuk mampu mengenal pasti ketidakcekapan, organisasi kerajaan akan dapat bertindak menyahkan pembaziran yang berlaku misalnya pertindanan kerja, pembaziran masa hasil daripada proses yang tidak cekap dan pembaziran kewangan hasil daripada pembayaran kewangan yang tidak teliti.

5. MENINGKATKAN PRODUKTIVITI

Dengan peningkatan teknologi Data Raya, aplikasinya menjadi semakin canggih dan semakin mudah digunakan.

Pengguna yang bukan teknikal juga mampu menginterpretasikan data set yang besar untuk mendapatkan maklumat, meningkatkan perkhidmatan yang lebih baik dan secara langsung membantu organisasinya meningkatkan produktiviti.

6. MENINGKATKAN PENGGUNAAN ASET KERAJAAN SECARA EFISIEN

Apabila Data Raya digunakan untuk membantu organisasi menyelesaikan masalah dan meningkatkan produktivitinya, secara tidak langsung juga Data Raya membantu pihak kerajaan mengguna pakai aset-aset kerajaan dengan cara yang lebih efisien.

7. MENINGKATKAN KETELUSAN DAN KEADILAN

Pengendalian dan pemerosesan Data Raya dengan cara betul akan membolehkan agensi-agensi kerajaan menjadikan maklumat terkumpul akan dapat diakses di peringkat awam, contohnya maklumat percukaian, maklumat cuaca dan maklumat lain berkaitan kepentingan rakyat.

Keadaan ini membolehkan rakyat memahami apakah maklumat atau data yang dikumpulkan oleh pihak kerajaan dengan cara lebih telus, adil dan terbuka.

8. MENGURANGKAN RISIKO KESELAMATAN DAN JENAYAH

Menganalisa Data Raya adalah kunci yang membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti corak dan lain-lain maklumat yang tersembunyi yang boleh mengancam keselamatan negara.

9. MENINGKATKAN KEUPAYAAN MENGELAKKAN BENCANA ALAM

Dengan peningkatan penggunaan teknologi GIS, mapping dan IoT, Data Raya boleh digunakan untuk menganalisa data terkumpul untuk membantu memberikan amaran awal kemungkinan bencana alam yang akan berlaku.

Misalnya, teknologi ini boleh menganalisa data banjir di kawasan sekitar Alor Gajah dan memberikan amaran supaya kawasan yang lebih ke selatan seperti Gadek dan Durian Tunggal untuk bersedia menghadapi kemungkinan banjir di tempat mereka.

10. MENGENAL PASTI KEPERLUAN RAKYAT DENGAN LEBIH BERKESAN

`Data points’ ini membolehkan pengundi dapat menentu dan merangka kaedah bagaimana untuk memilih siapakah pemimpin pada hari pengundian.

Kerajaan boleh menggunakan Data Raya untuk mengenal pasti apakah keperluan rakyatnya dengan tepat dan bertindak untuk memenuhinya dengan sebaik yang mungkin.

KESIMPULAN

Ada banyak kelebihan teknologi Data Raya ini yang boleh diambil kesempatan oleh pihak kerajaan untuk membantu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Secara umumnya teknologi Data Raya membantu pihak kerajaan membuat analisa ramalan (predictive analytics) supaya mereka boleh bertindak secara proaktif dan bukan reaktif, mengenal pasti dan memberikan respon segera kepada trend di media sosial dan internet untuk mengambil kesempatan kepada peluang yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat.

 

oleh: Zaipul Anwar Zainu, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Tun Perak

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS